Dr Mahathir terima darjah tertinggi

KOTA BHARU, April - Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dianugerah darjah kebesaran tertinggi kesultanan Kelantan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan ke-52. Darjah kebesaran itu dikenali sebagai Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K).

Selain itu, tiga lagi menerima darjah yang serupa iaitu Yang Dipertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum berkata, penganugerahan darjah kebesaran tertinggi itu akan diadakan hari yang belum ditetapkan lagi.

Bagaimanapun katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Dato' Nik Hashim Nik Abdul Rahman yang dianugerah Dato' Bergelar Istana mengetuai penerimaan darjah kebesaran, bintang dan Jaksa Pendamai di Istana Balai Besar, 30 Mac.

"Seramai 25 penerima mendapat anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato' sempena hari keputeraan tahun ini, berbanding 17 orang tahun lalu," katanya pada sidang media di Balai Besar, 29 Mac.

Menurutnya, seramai 344 menerima darjah, bintang, pingat, surat kepujian dan Jaksa Pendamai (J.P).
Beliau berkata, seramai 154 orang menerima anugerah kebesaran pada 30 Mac dan selebihnya pada tarikh lain yang belum ditetapkan.

Dato' Seri Dr Rais Yatim dianugerah darjah kebesaran kelas pertama iaitu Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K).

Manakala darjah kelas kedua, Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Dato' Hamad Kama Piah Che Othman.

Penerima-penerima yang mendapat anugerah Ahli Yang Kedua membawa gelaran Dato' Paduka termasuk Timbalan Menteri Pertanian, Dato' Mohd Shariff Omar; Ketua Polis Suratthanee, Thailand, Pol. Mejar General Manoch Kraiwong; Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Dato' Muhamad Abdul Ghani; Pegawai Penyelidik Muzium Kelantan, Haji Salleh Mohd Akib; Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Haji Shafii Ismail; Pengarah Jabatan Pertanian, Othman Ngah dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Ramli Abdul Rahman.

Manakala yang dilantik menjadi Jasa Pendamai (J.P) iaitu Foo Soo Chong Pauh dari Cheras, Selangor; Haji Lukman Hassan, Ampang, Selangor; Haji Sepei Deris, Melor, Kota Bharu dan Yu Ching Nee, Taman Maluri, Cheras.