Rakyat Kedah enggan hijrah - PM
Rakyat Kelantan pintar - menteri

KUALA LUMPUR, April - Menteri Penerangan, Dato' Seri Mohd Khalil Yaakob menolak dakwaan mengatakan orang (rakyat) Kelantan adalah miskin.

"Saya menghargai memang orang Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur bijak-bijak semua, itu kita terima. Di kementerian saya pun banyak juga orang-orang daripada Kelantan.

"Saya tidak tanya kenapa mereka berhijrah? Kita tahu, kita mengakui bahawa orang Kelantan ini banyak yang pintar. Dalam dunia korporat pun kita mengakui ramai orang Kelantan yang maju," katanya pada sesi perbahasan di persidangan Parlimen, baru-baru ini.

Isu itu timbul sebagai reaksi menteri terbabit kepada perbahasan anggota Parlimen Tanah Merah, Haji Mohd Saufi Daud dan anggota Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh berkaitan isu penghijrahan rakyat Kelantan.

Kedua anggota parlimen terbabit membangkitkan isu berkenaan dengan merujuk kepada siaran klip video RTM bertajuk 'Kelantan Ceria Dalam Gundah' yang merendah-rendahkan keupayaan kerajaan Kelantan menyediakan pekerjaan sehingga berlaku penghijrahan. Klip video berkenaan mendakwa 300,000 rakyat Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Haji Saupi berkata, dokumentari yang disiarkan RTM pada Ramadan lalu adalah suatu berniat jahat dan propaganda murahan Umno.

Sedangkan kata beliau, perangkaan rasmi Jabatan Sumber Manusia menjelaskan 148,248 rakyat Kelantan berhijrah keluar pada 1990 hingga 2000.

Manakala seramai 144,514 rakyat negeri lain pula berhijrah ke Kelantan untuk bekerja dan berkhidmat dalam tempoh yang sama.

"Jadi, di sini terdapat suatu percanggahan. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri dari mana sumber dan juga angka-angka yang diperolehi oleh RTM menyiarkan perkara itu tanpa meneliti terlebih dahulu.

"Adakah salah rakyat Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur jika dibandingkan dengan warga asing yang datang daripada Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan sebagainya yang lebih banyak mendatangkan masalah kepada negara ini," soalnya.

Ustaz Ismail berkata, sudah menjadi budaya orang Kelantan sejak dahulu lagi suka berhijrah bagi melaburkan kepakaran dan kebolehan masing-masing.

"Mereka datang dengan pengalaman, ilmu dan kemampuan serta tulang empat kerat yang ada pada mereka. Saya rasa Pahang separuh negeri diterokai orang Kelantan. Di zaman pemerintahan Dato' Ibrahim Fikri di Terengganu, separuh daripadanya diterokai orang Kelantan.

"Khidmat orang Kelantan kepada negeri-negeri lain, patut dipuji dan diberi tahniah. Di Kuala Lumpur cuba Yang Berhormat check balik, di kementerian-kementerian, saya kira ramai orang Kelantan. Di Jabatan Agama Islam atau Jakim, ada kawan-kawan saya berkelulusan Azhar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad pula melahirkan rasa kecewa terhadap penduduk Kedah kerana tidak ramai menyertai perkhidmatan kerajaan sehingga jawatan penting dipegang penduduk negeri lain.

Mengikut laporan akhbar bertarikh 10 Mac lalu, Perdana Menteri melahirkan rasa kecewa dan terasa agak keseorangan kerana tidak banyak orang Kedah bekerja dengan kerajaan Pusat atau menyertai syarikat di Kuala Lumpur.

"Datanglah bekerja di Kuala Lumpur," katanya sambil menegaskan kebanyakan jawatan utama dalam perkhidmatan awam sekarang seperti Ketua Setiausaha dipegang pegawai yang berasal dari Kelantan.

Mengulas reaksi itu di KOTA BHARU, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, sepatutnya pemimpin Umno di Kelantan turut berbangga kerana ramai rakyat negeri ini memegang jawatan tinggi kerajaan dan syarikat korporat.

Katanya, mereka sepatutnya akur seperti disebut Perdana Menteri yang mengakui sumbangan besar rakyat Kelantan dalam sektor perkhidmatan awam dan korporat.

Pegawai kerajaan negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, manfaat daripada penghijrahan rakyat Kelantan ke luar negeri memberi faedah besar kepada negara.

Menurutnya, terlalu panjang senarai nama untuk disebut rakyat Kelantan yang menerajui jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan dan syarikat-syarikat korporat.