Make your own free website on Tripod.com


ISU BUKIT PELANDUK- MB TIDAK PERNAH BERJANJI 

KOTA BHARU,  - Menteri Besar Kelantan tidak pernah membuat sebarang janji untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan penduduk Bukit Pelanduk pada satu majlis dialog ketika berkunjung ke Negeri Sembilan pada 11 Mac lalu.

Setiausaha Politiknya, Anual Bakhri Haron berkata, pihak yang mendakwa Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berjanji mahu menyelesaikan masalah dikemukakan penduduk perlu mengemukakan bukti lengkap.

"Selaras dengan itu, Menteri Besar Kelantan menuntut Setiausaha Parlimen, Jabatan Perdana Perdana, Dato' Noh Ahmad mengemukakan bukti di atas dakwaannya terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz kononnya berjanji membela nasib penduduk Bukit Pelanduk," katanya di sini.

Noh juga dilaporkan kesal dengan sikap pemimpin PAS yang dianggap sanggup  menggadai maruah bangsa dan agama semata-mata bagi meraihkan sokongan masyarakat Cina.

Anual juga berkata, Menteri Besar kesal dengan sikap manipulasi yang dilakukan akhbar dan media elektronik kononnya beliau berjanji menyelesaikan masalah penduduk Bukit Pelanduk.

"Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap isu penduduk Bukit Pelanduk ialah kerajaan Barisan Nasional yang meluluskan ladang ternak khinzir seluas 3,065 ekar. "Siapa makan nasi, dialah yang basuh pinggan," tambahnya.

Sementara itu, pelbagai pihak melahirkan rasa kesal terhadap sikap media cetak dan elektronik terutamanya RTM yang salah menggunakan harta milik rakyat bagi kepentingan politik Umno.

Penyelia Dun Galas, Chek Hashim Sulaima berkata, sepatutnya RTM yang diwujudkan sebagai sebuah agensi kerajaan menyiarkan berita seimbang dan bukan melakukan propanda bagi merosakkan pemikiran rakyat. Katanya, berdasarkan beberapa siaran berita yang dimuatkan media milik kerajaan itu berkaitan lawatan Menteri Besar Kelantan ke Bukit Pelanduk baru-baru ini, ia jelas menggambarkan RTM berperanan untuk membantu Umno dan bukan kerajaan.  Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan agenda murahan milik media elektronik terbabit yang begitu ketandusan isu.

Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan