Make your own free website on Tripod.com


MPKB - Syedex Adakan MOU Bina Kompleks Perniagaan di Wakaf Che Yeh

KOTA BHARU,   - Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat swasta, Syedex Corporation Sdn Bhd, bagi membina kompleks perniagaan melibatkan 40 unit rumah kedai yang bernilai RM13 juta di Wakaf Che Yeh. Majlis menandatangai MoU itu diadakan di Hotel Perdana, Khamis lalu dengan disaksikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan.

MPKB diwakili oleh Yang Dipertuanya, Haji Ramli Abu Bakar, Timbalannya, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman dan Ahli Majlis MPKB, Haji Zainuddin Abdullah.

Manakala pihak Syedex pula diwakili Pengarah Urusannya, Haji Mohd Nasir Mahmod serta dua orang peguamnya, Puan Norliza Hassan dan Puan Hadyati Harun.

Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco. Projek itu dijangka akan mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan.

Menurut Haji Ramli, apabila siapnya kompleks niaga tersebut dianggarkan keuntungan sejumlah RM4 juta akan diperolehi MPKB.

Sementara itu, Menteri Besar meminta anggota Exco menyemak balik senarai pelabur yang telah membuat perjanjian dengan kerajaan negeri, tetapi masih belum melaksanakan projek mereka mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, ia bertujuan untuk mengemaskan semula perjanjian usahasama yang dibuat oleh kerajaan negeri dengan syarikat terbabit.

"Ramai yang merungut banyak MoU dibuat dengan kerajaan negeri, tetapi malangnya projek yang bakal dilaksanakan tidak dijalankan sebagaimana sepatutnya," ujarnya.

Menurutnya lagi, tugas kerajaan negeri hanya melaksanakan MoU, sebaliknya untuk meneruskan projek atau seumpamanya adalah tamggungjawab pelabur.

Sementara itu, kerajaan negeri akan menumpukan pembangunannya di kawasan pinggir bandar seperti di Jalan Pasir Puteh dan Kuala Krai dalam usaha mengatasi kesesakan di kawasan bandar.

Menurutnya juga, langkah kerajaan negeri membina Dataran MPKB adalah bertujuan untuk menghadkan kemasukan kenderaan, agar masyarakat bandar tidak dicemari dengan asap kenderaan yang berlebihan.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan