Make your own free website on Tripod.com


Promosi Pelancongan Kelantan di Singapura
 
KOTA BHARU:  Kerajaan Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan (TIC)  akan mengadakan promosi pelancongan di Singapura pada April ini dalam usaha menarik penduduk negara berkenaan berkunjung ke sini.

Usaha itu perlu dilakukan bagi menjayakan sasaran menarik seramai 3.5 juta pelancong melawat Kelantan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan dan NGO negeri, Haji Anuar Tan Abdullah berkata, sempena promosi itu sebanyak 60 tempat ditempah bagi menempatkan pelbagai produk dari negeri ini untuk dipamerkan kepada rakyat Singapura. Antaranya, makanan tradisi Kelantan, kraftangan, batik dan songket.

Selain itu, promosi dasar kerajaan negeri iaitu Membangun Bersama Islam juga akan diperkenalkan.
"Pelancong dari Singapura akan dijemput datang ke negeri ini untuk berehat atau makan angin di samping mereka boleh membeli barangan dengan harga yang murah," katanya.

Menurut beliau, usaha itu secara tidak langsung menghasilkan pendapatan kepada rakyat di negeri ini termasuk pengusaha hotel, rumah tumpangan, kenderaan awam dan peniaga.
"Langkah tersebut juga dibuat bagi memenuhi sasaran untuk menarik pelancong sehingga 3.5 juta tahun ini iaitu meningkat berbanding tahun lepas seramai 2.5 juta orang.

"Sasaran itu dijangka dapat dicapai memandangkan tahap kunjungan pelancong dalam dan luar negara begitu meningkat sejak tiga bulan pertama tahun ini," katanya di  di sini.

 



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan