Make your own free website on Tripod.com


Warkah Dekatkan Kerajaan Dengan Rakyat 

TANAH MERAH, - Kelahiran Warkah Darul Naim menjadi medium terbaik untuk rakyat mengetahui secara dekat perkembangan yang berlaku dalam kerajaan negeri sekarang.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud berkata, sebelum ini banyak usaha yang dilakukan kerajaan negeri tidak diketahui rakyat. "Namun dengan kewujudan Warkah yang menjadi media rasmi kerajaan negeri menggantikan Buletin diharap boleh menjadi saluran rakyat untuk mendapatkan maklumat secara jelas mengenai kerajaan.

"Persembahan Warkah yang lebih bercorak komersial adalah bagi merebut peluang untuk menyalurkan sebaik mungkin maklumat kepada rakyat," katanya pada majlis pelancaran Warkah Darul Naim oleh Menteri Besar di Padang Majlis Daerah Tanah Merah, baru-baru ini.

Pelancaran itu bermula dengan pembahagian naskah-nashkah keluaran pertama Warkah bertarikh Mac 2001 kepada beberapa wakil rakyat termasuk Adun Ayer Lanas, Chetok, Bukit Panau, Gual Ipoh, Kemahang dan Senator Siti Zailah Mohd Yusof.

Orang ramai yang hadir pada program pelancaran itu turut diagih naskah Warkah secara percuma sebagai promosi.

Wan Jamil berkata, Warkah diterbit sekali sebulan dicetak sebanyak 20,000 naskah dan dijual dengan harga RM1.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, Warkah diterbit menggantikan Buletin untuk menyalurkan maklumat mengenai kerajaan kepada rakyat.

Katanya, biarpun penerbitan berimej komersial, namun ia bukan berorientasikan keuntungan semata-mata, sebaliknya untuk memboleh orang ramai menghargai setiap bacaan yang dimiliki.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Kelantan mendapatkan maklumat melalui Warkah untuk mengetahui perkembangan semasa yang berlaku membabitkan kerajaan negeri.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga berharap rakyat Kelantan mendapatkan maklumat semasa yang berlaku di negeri ini melalui Warkah yang terbit sendiri kerajaan negeri.

Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan