Ku Li guna istana kekalkan karier politik - Abe Jak  

PASIR MAS,  Okt  - Bekas orang kanan Tengku Razaleigh Hamzah, mendedahkan pemimpin itu sejak dahulu lagi menggunakan institusi istana Kelantan bagi mengekalkan pengaruh politiknya. 

Haji Abdul Razak Abbas (Abe Jak) berkata, Ku Li menggunakan pendekatan itu sejak gagal merebut jawatan Presiden Umno pada pertandingan melawan Dr Mahathir Mohamad, tahun 1987.

Katanya, sejak tempoh itu, Ku Li menggunakan platform istana Kelantan bagi mencapai segala impiannya dalam politik.
"Saya sangat mengenali Ku Li kerana pernah bersamanya sejak sekian lama terutamanya selepas tertubuhnya Semangat 46.
"Penubuhan Semangat 46 juga menampakkan lagi bayangan perjuangan Ku Li yang mempergunakan habis-habisan istana Kelantan," katanya di sini.

Sehubungan itu, beliau menyokong penuh kenyataan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Ku Li bawa isu pindaan perlembagaan negeri pada Jun lalu ke mahkamah untuk mengetahui pindaan tersebut sah atau sebaliknya.

Baru-baru ini, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang mempunyai kaitan secara dekat dengan Ku Li mengadakan perhimpunan di Istana Balai Besar untuk menyatakan taat setia Umno terhadap Sultan Kelantan.

Perhimpunan itu cuba berselindung di sebaliknya MTRK yang dikepalai Dato' Paduka Ibrahim Ali, secara jelas mengheret istana bagi mempopularkan kembali politik Ku Li. Malah, ada sumber memberitahu, segala aktiviti berselindung di sebalik MTRK dibiayai oleh bekas seorang pemimpin yang mematikan sendiri partinya. Perhimpunan di Balai Besar pada minggu lalu dihadiri sebahagian besar guru-guru yang dipaksa berbuat demikian dan di kalangan penyokong Umno. Hadir sama pada program yang diadakan di sebelah petang itu, Sultan, Raja Perempuan , Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustafa Mohamed, Ibrahim Ali dan Ku Li. Guru-guru yang hadir pada program 'paksaan' itu sebahagian besarnya meninggalkan program ketika Ibrahim sedang berucap.

Abdul Razak berkata, pindaan yang dilakukan kerajaan negeri sebenarnya sudah dilakukan di peringkat Persekutuan sejak 1994.
"Sekiranya apa yang dilakukan kerajaan negeri tidak sah, sudah tentu keadaan serupa akan berlaku di peringkat Persekutuan kerana perkara yang digubal adalah hampir sama," katanya.

Beliau juga berkata, Ku Li tidak mampu untuk membohongi rakyat terhadap segala tindak tanduknya selama ini, mempergunakan istana untuk mempertahankan survival politiknya yang sudah bangkrap. Katanya, tindak tanduk Ku Li mempergunakan MTRK tidak mampu menarik perhatian rakyat dan pemimpin Umno di peringkat Pusat kerana isu tersebut sudah basi.

Beliau berkata, isu pindaan yang disebut Ku Lu semakin menjadi persoalan penting, sebenarnya tidak lebih sebagai omongan semata-mata kerana rakyat sudah lama melupakan isu tersebut. Katanya, isu berkenaan  tidak mampu untuk menarik perhatian rakyat, biar apa sekali pun taktik dilakukan Ku Li melalui MTRK.

Malah beliau berkata, sekiranya Ku Li terus berganding rapat dengan Ibrahim Ali yang sudah lama ditolak rakyat, karier politiknya semakin cepat rosak dan akan terus punah dimamah masa.

Pada persidangan Dun Kelantan 25 Jun lalu, sebanyak tujuh rang undang-undang dibentang termasuk enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2001.

Perkara 15 (1) dan Perkara 39 (2) yang dipinda pada persidangan berkenaan iaitu berkaitan Sultan perlu bertindak di atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan rang undang-undang menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari.
Bagaimanapun difahamkan enam daripada rang undang-undang tersebut sudah mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Abdul Razak yang juga bekas Timbalan Ketua Penerangan Semangat 46 (ketika bersama Ku Li) berkata, pindaan perlembagaan negeri dibuat di atas kehendak majoriti rakyat Kelantan.