Negara Islam ala Umno nafikan hak rakyat  

PENGKALAN CHEPA, 1 Okt  - Pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam menjadi bahan ketawa orang ramai apabila banyak tindak tanduknya didapati bercanggah dengan amalan Islam.

Contohnya, tindakan kerajaan Barisan Nasional di bawah Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menafikan wang royalti petroleum bagi kerajaan Terengganu dan sekatan terhadap kuliah-kuliah agama adalah jelas tidak mencerminkan kehendak Islam.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, banyak amalan dilakukan kerajaan BN sekarang bercanggah dengan tuntutan Islam.

"Ajaran Islam berpandukan kepada al-Quran dan Hadis melarang keras umatnya merampas hak orang lain, seperti yang dilakukan ke atas kerajaan Terengganu," katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini, sekali lagi Dr Mahathir mengumumkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang kononnya diterima semua penduduk di negara ini, termasuk bukan Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, banyak lagi perkara-perkara lain boleh dipersoalkan sekiranya benar Malaysia sebuah negara Islam.

Katanya, amalan yang wajib bagi wanita Islam iaitu menutup aurat perlu menjadi keutamaan kepada sesebuah negara Islam. Bagaimanapun perkara itu tidak menjadi realiti bagi negara Islam ala Umno, apabila isteri pemimpin utama negara sendiri menolak peraturan itu.
"Kerajaan BN juga wajib membenarkan ilmuan agama menyampai syarahan agama tanpa sebarang sekatan kerana ia dituntut Islam. Namun keadaan sebaliknya berlaku terhadap negara Islam tajaan Umno.

"Selain itu, kerajaan BN juga perlu mengharamkan segala bentuk hiburan yang jelas bercanggah dengan amalan Islam," katanya.
Oleh itu, beliau meminta kerajaan BN yang diketuai Umno harus mencerminkan segala tindakannya terlebih dahulu sebelum nengumumkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Katanya, perkara asas yang mudah bagi mengenali sebuah negara Islam ialah undang-undang Islam seperti digariskan al-Quran dan Hadis perlu dilaksanakan. "Perlembagaan Islam hanyalah al-Quran dan tidak boleh berpandukan kepada sumber lain," katanya.