Kebudayaan pelbagai kaum dibenarkan di Kelantan  

KOTA BHARU, Okt - Kebudayaan Islam boleh diterima masyarakat pelbagai kaum di negara ini kerana ia mengutamakan keharmonian dan saling hormat menghormati.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masyarakat bukan Islam juga boleh menerima dengan mudah kebudayaan Islam.

"Jika semua kaum faham tentang kebudayaan Islam, mereka dengan sendirinya mudah memahami dasar yang menjadi tonggak pemerintahan kerajaan negeri di Kelantan sekarang," katanya ketika merasmikan Pesta Kebudayaan dan Kesenian Cina Negeri Kelantan 2001, di sini malam 30 September.

Pesta kesenian itu turut di sertai kumpulan kebudayaan Cina dari Melaka, Johor, Perak dan Selangor. Ia dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama 38 persatuan Cina di negeri ini. Pesta selama empat hari itu diadakan di Dewan Persatuan Hok Kien, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kelantan dan Medan Selera Jalan Kebun Sultan.

Pelbagai acara menarik diadakan sempena pesta tersebut termasuk ceramah perubatan tradisi Cina, pameran seni foto, kaligrafi Cina, ceramah melukis dakwah Cina, pesta tanglong dan pameran peranakan Cina Kelantan. Lebih 5,000 penduduk Cina hadir pada majlis perasmian tersebut yang diadakan di Jalan Kebun Sultan.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak pernah menghalang mana-mana kaum dan agama mengamalkan kebudayaan mereka selagi tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sentiasa menghormati kebudayaan dan kesenian yang dimiliki kaum lain di negeri.
"Kerajaan negeri tidak pernah menghalang penduduk bukan Islam mengamalkan kebudayaan mereka, tanpa menjejaskan sensitiviti agama lain," katanya. 

Menurutnya, kebudayaan Islam bersifat sederhana yang sesuai untuk sepanjang zaman bermula dari zaman batu sehingga zaman internet sekarang.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin masyarakat bukan Islam di negeri ini memberi penerangan kepada rakan-rakan mereka dari negeri-negeri lain mengenai kebudayaan Islam.

Di majlis tersebut juga Tuan Guru Nik Aziz diberi penghormatan menulis tulisan Cina yang membawa erti 'amai dan damai'.