Dari Pejabat Menteri Besar Kelantan
Amalan Kezaliman: Sebuah
perbandingan ringkasTIDAK
payahlah kita mengulas sangat tentang pemecatan Ketua Eksekutif Institut
Lanjutan Teknikal Terengganu (Tati) yang berkuatkuasa pada 27 Disember 2001.
Berita yang dimuatkan dalam akhbar dua hari berturut-turut sudah dikira
mencukupi untuk sekurang-kurangnya memahamkan kita mengenai latar belakang
asasnya.
Darihal sebab, punca dan cara pemecatannya, tentulah ia diasaskan kepada
segala peraturan da dokumen kontrak yang telah ditandantangani antara kedua
belah pihak.
Ia selesai. Soal pihak yang dipecat sedang berfikir langkah yang selanjutnya
adalah juga perkara biasa dalam amalan sistem demokrasi di negara kita.
Tetapi yang nampak jelas ialah sikap betapa cepatnya 'orang' yang suka
mengambil kesempatan. Diulas terus oleh orang nombor satu Malaysia tanpa
tangguh-tangguh lagi.
Jika dalam kes Dato' Seri Ainum - Peguam Negara (bekas) kita cepat-cepat
dihiburkan dengan alasan kesihatan. Semua orang lalu menjadi senyap. Yang
timbul ialah beliau bersara pilihan kerana kurang sihat. Asas persaraan
beliau yang sebenar tidak lagi menjadi mustahak.
Mari kita tanya pula bagaimana dengan kes-kes yang lebih besar. Takkan orang
Melayu mudah lupa dengan kisah yang membawa kecelakaan kepada Dato' Seri
Anwar Ibrahim pada bulan September 1998.
Bagaimana beliau dipecat, dimalukan, dipotong bekalan elektrik, diminta
keluar dari kediaman rasmi, dikepung, diserbu, digari, ditutup mata,
ditumbuk (mungkin beliau menumbuk diri sendiri?), dinafikan rawatan, ditahan
di lokap, dituduh dengan pelbagai kesalahan, gempar seketika dengan
keracunan arsenik, yang akhirnya terpaksa melalui proses perbicaraan yang
menjijikkan dan ada tempat-tempatnya meragukan.
Sekarang dalam lokaplah orang nombor dua Malaysia itu untuk selama 16 tahun.
Merana sakit tulang belakang yang tidak diizinkan untuk menerima rawatan
pakar di luar negara sampai sekarang.
Itu belum lagi dibayang kepiluan dan derita batin anak-anak dan isteri yang
terpaksa dilalui dan akan dilalui hasil 'pemisahan'.
Apakah proses pemecatan yang amat mengaibkan ini tidak memperlihatkan sebuah
kezaliman yang luar biasa? Anwar bukan lagi dicantas, bahkan ditebas,
ditebang, dicincang dan dibuang begitu sahaja dari segi politiknya.
Siapa yang berani mengatakan 'Anwar benar' pastinya akan mengalami kesulitan
dalam kehidupannnya.
Hakikat tertubuhnya sebuah parti khusus dengan nama Parti KeADILan Nasional
adalah manifestasi protes ratusan ribu rakyat terhadap amalan kezaliman
kerajaan.
Kemudian dalam kes penggantungan yang membawa kepada pemecatan Tun Salleh
Abbas, Ketua Hakim Negara (bekas) pada 27 Mei 1988 dan 8 Ogos 1988, perkara
yang sama disaksikan.
Mengikut Tun Salleh, punca sebenar pemecatan beliau, hanyalah kerana tuduhan
Dr Mahathir bahawa beliau akan 'bias' dalam mengendalikan kes rayuan
pengharaman Umno.
Butir-butir pertuduhan yang dikemukakan kepada beliau pula hanyalah
diadakan-adakan. Jika mampu kita kutip sedikit butiran pertuduhan terhadap
Tun Salleh ia berbunyi:
'Percubaan kamu untuk mengatur semula
undang-undang secara umumnya mengikut prinsip-prinsip perundangan Islam
telah tidak mempedulikan sifat masyarakat Malaysia sebagai sebuah masyarakat
yang berbilang agama dan bangsa dengan perbezaan kebudayaan yang ketara.
Tidak ada sebuah kerajaan bertanggungjawab dapat mengizinkan pengemukaan
pandangan sebegitu oleh seorang ketua badan kehakiman tanpa mendatangkan
ketakutan dan kegemparan di kalangan penduduk bukan Islamnya. Tambahan pula,
kenyataan kamu adalah melanggari prinsip-prinsip kukuh pentafsiran kehakiman
yang telah diterimapakai dengan meluas di dalam mahkamah-mahkamah di
Malaysia dan dia negara-negara komanwel.'
Apabila mendengar butiran pertuduhan di
atas, kita selanjutnya boleh secara kebetulan pula membaca sikap pemimpin
negara kita ini terhadap pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia. Dalam
persekitaran begini layakkah Malaysia dipanggil sebagai sebuah negara Islam?
Begitu juga prosedur pengendalian oleh Tribunal, mengikut Tun Salleh ianya
penuh dengan perlanggaran ke atas undang-undang. Akhirnya beliau dipecat.
Ringkasnya, amat jauhlah dengan kes Prof Zaki yang dihentikan
perkhidmatannya dari segi nilai kezaliman.
Setiap sesuatu ada latarbelakangnya. Jangan sampai kita disebut orang
sebegini;
'Mengata dulang paku serpih
mengata orang dia yang lebih'
Anual Bakhri Haron
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
|