Make your own free website on Tripod.com


Isytihar negara Islam tidak pulihkan imej Dr Mahathir

PENGKALAN CHEPA, 2 Jan  - Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad tidak mampu untuk memulihkan imejnya biar selepas peristiwa 11 September di New York dan Washington.

Begitu juga cubaanya, mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak mampu untuk membersihkan nama Perdana Menteri yang sudah banyak tercalar.

Adun Sarang Burung, Dato' Dr Mohd Hassan Ali berkata, pemimpin terbabit tidak mampu untuk memulihkan imejnya berdasarkan kepada perkembangan tersebut.

Malah katanya, apa yang dilakukan sebelum ini dengan menyekat pergerakan parti pembangkang terutamanya PAS dilihat sebagai menghalang kebangkitan Islam itu sendiri.

"Apa yang dilakukan sebelum ini bukan sekadar menghalang PAS, sebaliknya tujuan utama menghalang kebangkitan Islam," katanya pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

Pelbagai sekatan yang dikenakan kerajaan BN di bawah kepemimpinan Dr Mahathir termasuk menghalang masjid untuk pemimpin PAS menyampaikan kuliah, menyekatkan ceramah politik dan menangkap pemimpinnya serta dikenakan tahanan di bawah ISA.

Menurut Ketua Pembangkang Dun Selangor itu, usaha yang dilakukan pejuang gerakan Islam bukan sekadar untuk memenangkan PAS, sebaliknya mengangkat martabat Islam.

"Kita berjuang bukan sekadar untuk memenangkan PAS tetapi untuk mendaulatkan Islam sebagai agama Allah," katanya.
Oleh itu, beliau mengingatkan pemimpin yang masih berkuasa jangan mengkhianati segala suruhan Allah.
Beliau berkata, umat Islam perlu meletak urusan Islam dalam 'bernegara' bermula dari perkara yang kecil sehingga kepada jentera pentadbiran kerajaan.