Make your own free website on Tripod.com


Bantuan banjir diberi tanpa kira fahaman politik

GUA MUSANG, 2 Jan  - Mangsa-mangsa banjir di jajahan ini, baru-baru ini menerima bantuan makanan daripada kerajaan negeri tanpa membezakan fahaman politik di antara mereka.

Penduduk yang tersenarai sebagai mangsa pindahan banjir dan golongan penduduk miskin mendapat bantuan tersebut yang diagihkan melalui penghulu.

Adun Dabong, Haji Abdul Ghafar Yusoff berkata, mangsa-mangsa banjir tanpa diambilkira mengira fahaman politik mendapat bantuan tersebut iaitu beras, sardin dan gula.

"Mangsa-mangsa pindahan banjir yang disenaraikan dihulur bantuan tersebut dan begitu juga penduduk miskin," katanya.
Bagaimanapun beliau kesal agihan kepada mangsa-mangsa yang dilakukan oleh parti lawan lebih mengutamakan politik berbanding nilai kemanusiaan sebenar.

Katanya, beliau menerima runggutan ramai penduduk di beberapa kampung mengenai bantuan kepada mangsa banjir oleh pihak berkenaan tertumpu kepada kalangan ahli dan penyokong Umno sahaja.
 
Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai baru-baru ini begitu teruk dilanda banjir sehingga ribuan penduduk terpaksa berpindah. Banjir yang datang secara tiba-tiba menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah gagal menyelamatkan harta benda mereka.

Ekoran banjir itu, penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman terputus hubungan, malah jalan antara Jelawang - Gua Musang terputus di Sungai Tupai. Begitu jalan perhubungan di antara Gua Musang - Kuala Lipis terputus di Chegar Perah.

Haji Abdul Ghafar berkata, seramai 600 keluarga penduduk terpaksa berpindah ekoran banjir yang melanda beberapa kampung dan bandar Gua Musang dari 23 hingga 26 Disember lalu.

Katanya, antara kawasan yang agak teruk ditenggelami air bah termasuk bandar Gua Musang, Kampung Kerinting, Kampung Kundur, Sungai Terah dan Ciku 7.

"Begitu juga penempatan setinggan di tepi-tepi Sungai Galas turut ditenggelami banjir," katanya di sini.

Wakil rakyat berkenaan berada di Dabong dan bermalam di beberapa kampung semasa banjir berlaku dan beliau turut membantu memindahkan penduduk dan menyampaikan bantuan makanan.

Menurutnya, kebanyakan penduduk yang terpaksa berpindah disebabkan banjir baru-baru ini membabitkan Dun Galas dan Paloh, manakala Dun Dabong tidak berlaku perpindahan biar pun turut dilanda banjir.

Penyelia parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas, Penyelia Dun Galas, Che Hashim Sulaima dan Penyelia Dun Paloh, Ustaz Abdullah Yusof turut bertungkumus lumus membantu penduduk dengan dibantu penghulu dan petugas-petugas banjir.

Sebanyak 600 kampit beras disediakan kepada mangsa banjir di Dun Galas memandangkan ramai penduduk berpindah. Selain itu, sardin dan gula juga diagihkan kepada mereka.

Adun Dabong juga berkata, kira-kira 5,000 penduduk yang tinggal di beberapa kampung di sepanjang jalan Jelawang - Gua Musang terputus hubungan ekoran air melimpah di Sungai Tupai.

Katanya, air bah sejauh dua kilometer memenuhi sebahagian jalan raya dan kampung di kawasan tersebut yang menyebabkan laluan ke tempat lain terputus.
"Ada penduduk yang menyediakan perkhidmatan rakit untuk membawa penduduk dan kenderaan ringan dengan dikenakan sedikit bayaran.
"Kawasan itu ditenggelami air selama empat hari," katanya.

Beliau juga berkata, penduduk yang tinggal di kawasan setinggan paling ramai berpindah di Dun Galas.

Haji Abdul Ghafar yang juga Yang Dipertua PAS Gua Musang bagaimanapun  bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku semasa banjir melanda, baru-baru ini.

Mengenai pemindahan setinggan ke Kampung Putih yang diwujudkan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu, katanya, sepatutnya penduduk sudah berpindah ke penempatan tersebut yang selamat daripada banjir.

Menurutnya, pelbagai kemudahan asas sudah disediakan termasuk bekalan elektrik, air dan jalan di penempatan baru itu.
Bagaimanapun beliau tidak dapat menafikan ada di antara setinggan yang enggan berpindah kerana tidak mempunyai wang untuk membina rumah baru.

"Sepatutnya kerajaan Pusat melalui Kesedar memilih penduduk terbabit untuk menerima bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi mendirikan rumah baru.

"Bagaimanapun malangnya apa yang berlaku, bantuan tersebut hanya diagihkan kepada penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja, sedangkan penduduk yang benar-benar miskin dibiarkan," katanya.