Make your own free website on Tripod.com


Kelayakan ilmu perlu bila bercakap mengenai Islam

PENGKALAN CHEPA, 2 Jan  - Seseorang pemimpin yang tiada  kelayakan ilmu berkaitan bidang agama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai Islam kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil contoh seorang kelulusan perubatan yang tidak ada kelayakan di bidang agama, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan umum mengenai Islam.

"Agama Islam tidak boleh dipermainkan ikut sedap mulut sahaja, sekali terima Islam dan pada masa lain pula terima nasionalisme.

"Malah pernah ketika pemimpin tertentu beriya-iya sangat mahu mengharamkan perkataan Islam digunakan pada pertubuhan.

"Bagaimanapun tidak berapa lama selepas ini, pemimpin yang sama mahu Malaysia dikenali sebagai negara Islam pula," katanya pada satu ceramah di sini, baru-baru ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menasihatkan ulamak yang terbabit dalam politik supaya mengutamakan ajaran Islam dan tidak menyalah tafsir ajaran agama untuk menghalalkan perbuatan mereka yang salah.

Menurut Presiden Umno itu, apabila ulamak mengambil bahagian dalam politik, ramai rakyat menjadi sesat dan tidak patuh kepada ajaran Islam.

Menteri Besar berkata, kenyataan seperti itu timbul kerana pemimpin terbabit tidak ada ilmu dalam agama sehingga mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang ramai.

"Begitu juga saya sebagai kelulusan agama (ustaz) tidak boleh hendak menjual ubat kerana hanya berjumpa doktor sekali sekala.. ketika dirawat di hospital. Jadi pengetahuan saya di bidang ilmu perubatan tidak ada.
"Oleh itu, saya tidak layak untuk menjual ubat," tambahnya.

Anggota parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, seseorang pemimpin yang tidak ada kelulusan dalam bidang agama kurang layak untuk bercakap mengenainya.

"Adakah Perdana Menteri layak untuk menjadi guru fardhu ain, sedangkan setahu kita dia tidak mempunyai kelulusan di bidang agama, lebih-lebih lagi untuk digelar Amirulmukminin (memandangkan dia sudah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam," katanya.

Menurutnya, biarpun sudah diisytiharkan sebagai negara Islam, namun pemimpin terbabit melarang orang ramai membahas mengenainya.

Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada perasmian perhimpunan parti Gerakan tahun lalu. Ekoran pengisytiharan itu, RTM dijadikan alat untuk mengutip pandangan ulamak dari negara-negara Arab bagi menyokong pengumuman Perdana Menteri.

Kerajaan menghantar misi khas sekumpulan wartawan RTM untuk menemuramah ulamak-ulamak dari negara Arab bagi 'mengaminkan' segala pengisytiharan Dr Mahathir mengenai negara Islam.

Bagaimanapun ramai berpendapat, apa yang dilakukan RTM sebagai jenaka murahan dan tidak mampu memberi kesan kepada minda rakyat.

Penyelia Gun Galas, Che Hashim Sulaima berkata, slot khas negara Islam yang dijaja melalui RTM tidak mampu untuk memberi kesan kepada orang ramai.

Katanya, penglibatan RTM secara langsung bagi membela politik yang sudah bankrap dalam Umno turut mengundang kebencian orang ramai terhadap media rasmi kerajaan itu.

"Rakyat yang sudah diasuhkan dengan agama sejak kecil dan kemudahan mendapat maklumat melalui internet menyebabkan mereka tidak mudah diperdayakan dengan slot murahan tersebut," katanya.