Make your own free website on Tripod.com


Jentera pentadbir perlu disuntik nafas MBI
 
PENJELMAAN tahun 2002 seakan-akan memberi tendensi baru kepada kerajaan Kelantan. Roh Islam yang disemarakkan sejak hampir 12 tahun mungkin sudah meresap ke dalam empulur jentera kerajaan.

Alasan untuk menghujahkan kewujudan situasi itu, biarpun sukar diukur beberapa ketika sebelum ini, ia memang ada nasnya. Ini memandangkan detik-detik kebelakangan ini, situasinya kelihatan sudah kembali kepada landasan asal.
Jentera pentadbiran kerajaan negeri kini seperti disuntik nafas baru. Sejak hampir setahun lalu usaha-usaha yang cuba membiasi intergriti Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) mulai kelihatan.

Lompang yang begitu kosong dan kurang serasi dengan MBI tidak dinafikan kelihatan muncul (beberapa ketika) dalam era sebelum ini. Kanvas pentadbiran dan politik rakyat seakan-akan tempang ketika itu. Sekiranya hendak diistilah sebagai kecatatan, ia kelihatan berlaku hanya seketika, namun tempohnya agak merimaskan. Bagaimanapun sebelum itu, keserasian MBI sudah hampir sedaging dengan jentera pentadbiran.

Namun, kini mendung itu sudah berlalu dan diharap tidak ada lagi awam-awam hitam yang cuba menghidupkan episod lama di bawah jentera MBI.  Rakyat yang menobatkan dasar MBI tidak rela sandiwara usang terus bertapak. Konsep 'government in the day' seharusnya berlaku dalam situasi apa sekalipun, selagi tidak menyimpang dari perundangannya.

"Mendalami dasar-dasar kerajaan negeri dengan menjadikan Islam sebagai teras. Oleh itu, sebagai agen pelaksana perspektif yang jelas kerajaan negeri berkaitan dasar MBI disambut dengan terbuka," kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum pada program Penghayatan Dasar-Dasar Kerajaan Negeri, Januari lalu.
Semangat seperti inilah sepatutnya bersemandi di setiap jiwa  pentadbir. Masa untuk mendengar 'drama yang tidak serasi' sebenarnya sudah lama berlalu. Pentadbir yang berada di bawah jentera rakyat perlu bergerak seiring dengan kepemimpinan kerajaan.

Itu yang rakyat mahu. Bersusah payah mereka berkempen, menaikkan poster dan apa sahaja yang disumbang dengan keringat dan minda bagi melahirkan sebuah kerajaan berorientasikan MBI. Rakyat harap payung MBI bukan sekadar bermanfaat di atas dunia yang sementara, sebaliknya menerobos ke alam lain (kekal tanpa penghujungnya).

Usaha untuk mengadakan program penghayatan dasar-dasar kerajaan seharusnya dilakukan secara berterusan. Tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun. Muhasabah seperti ini sepatutnya dijadikan agenda tahunan, sebagai 'check and balance' mengingatkan pentadbir dan kerajaan terhadap kebejatan yang berlaku.

Ketika itu, pemimpin politik yang dinobatkan sebagai ketua kerajaan perlu secara terbuka memberi ingatan, nasihat dan bimbangan. Senaraikan elemen-elemen negetif yang perlu dihindari. Teguran dibuat sebagai bapa kepada anak. Pentadbir pula perlu diberi ruang secukupnya untuk menyatakan pandangan. Inilah ruang likup yang perlu diberi intergriti secara berterusan. Jangan berlaku salah tanggap, semuanya perlu bergerak di atas paksi keikhlasan.

Selain itu, kejayaan pihak pentadbir menganjurkan hari kualiti Januari lalu, sesuatu yang cukup dihargai. Malah, ia seharusnya dijadikan agenda tetap. Biarpun melibatkan kos (duit rakyat), namun usaha murni untuk menobatkan jasa individu atau organisasi perlu digembelingkan.  Anugerah kepada pihak yang berjasa adalah seiring dengan falsafah MBI.
Biarpun begitu, segala gerak kerja biarlah bertitik tolak kepada paksi Islam. Bermula dengan segala persiapan dan atur cara perlu mengekalkan identiti Islam.

Ruang untuk menonjolkan pembiasan dengan peragaan bukan Islamik perlu diketepikan. Biarpun pemimpin politik tidak kelihatan di majlis berkenaan, perjumpaan dalaman seperti itu perlu direstui.

Syabas kepada jentera pentadbir yang berjaya menempatkan diri di ruang lingkup dasar MBI. Pengorbanan untuk Islam, berjasa kepada rakyat.

Mazlan Jusoh
Harakah Kelantan