Make your own free website on Tripod.com


Kias tawar kursus peringkat ijazah
 
KOTA BHARU, 2 Feb - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan Kelantan kini terus menempa kejayaan apabila menganjurkan kursus peringkat ijazah sarjana muda.
Kursus pengajian itu diadakan secara berkembar dengan kerjasama Universiti al Azhar, Mesir.

Timbalan Pengarah Akademiknya, Dr Zakaria @ Mahmod Daud berkata, program yang dianjurkan itu mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia, yang akan dilaksanakan bermula Mei depan, bagi sesi pengajian akademik 2002/2003.
Katanya, kursus tersebut ditawarkan dalam bidang Usuluddin dan Syariah melalui program (2+2) iaitu dua tahun pengajian di Kias dan dua tahun lagi di Universiti al Azhar. "Pengambilan kumpulan pertama pelajar bagi mengikuti kursus itu akan dibuat Mei ini," katanya di sini.

Sebelum ini, Kias menawarkan kursus-kursus pengajian peringkat diploma dalam bidang yang sama, di mana pelajar lepasan Kias boleh menyambung pengajian di tahun tiga Universiti al Azhar. Kias sekarang mempunyai seramai 534 pelajar dan 28 tenaga pengajar sebahagian besar berkelulusan peringkat master dan Phd.

Dr Zakaria berkata, syarat kemasukan bagi program sarjana muda al Syariah dan Usuluddin ialah lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau setarafnya dengan mendapat pangkat sekurang-kurang kepujian (jayyid).

Manakala bagi program diploma ialah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat kredit dalam mata pelajaran tertentu atau kelulusan Sijil Tinggi Ugama (STU). Pelajar-pelajar yang memohon menggunakan sijil STU akan ditempatkan di semester tiga.

"Borang-borang permohonan kemasukan sedang diedarkan sekarang dan tarikh tutup permohonan tiga minggu selepas keputusan peperiksaan STAM, STU dan SPM diumumkan," katanya.

Selain itu, Dr Zakaria berkata, Kias juga menyediakan kemudahan tempat pembelajaran yang lebih selesa termasuk bilik kuliah berhawa dingin, makmal IT, masjid dan asrama.

Kemudahan pinjaman pendidikan termasuk Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) juga ditawarkan.
Kias adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang ditubuh kerajaan negeri melalui anak syarikat Yakin iaitu Akademik Yakin Sdn Bhd.  
---------------