Ahli PAS Masuk UMNO hanya Gimik Politik

KOTA BHARU: Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kemasukan 670 anggota Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) dan PAS dari 18 cawangan di Parlimen Rantau Panjang menyertai Umno hanya merupakan satu 'gimik' politik UMNO untuk memenangi hati rakyat khususnya di Kelantan.

Ketika ditanya adakah benar sebagaimana yang didakwa oleh sebuah akhbar harian Rabu lalu, beliau berkata ianya hanya cerita lama yang sering dimainkan oleh pihak lawan.

"Itu perkara biasa yang dilakukan oleh mereka, kalau ikut cerita lepas (kemasukan ahli PAS dalam Umno) saya tak percaya, ianya hanya dibuat-buat sahaja," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung 670 penyokong BA dari 18 cawangan menyertai Umno di mana majlis penyerahan borang yang diadakan sempena lawatan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri ini Selasa lalu.

Menurut laporan akhbar tersebut, penyertaan mereka bersama Umno kerana kecewa dengan sikap pemimpin berkenaan (PAS dan KeAdilan) di negeri ini. Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan, bagaimanapun turut mempersoalkan sikap media massa kerajaan yang 'ghairah' mengeluarkan berita sedemikian (penyertaan ahli PAS dan KeAdilan dalam Umno), sedangkan pada waktu yang sama penyokong mereka juga turut menyertai PAS.

Tambah beliau lagi, sebagai contohnya 30 orang anggota Umno dari Kampung Kubang Bok, Kuala Ketil, baru-baru ini menyertai PAS kerana kesal dengan tindakan melampau serta tidak berperikemanusiaan polis ketika menyuraikan ceramah PAS.

"Berita ni ada tersiar dalam internet baru-baru ini, kenapa tidak didedahkan sekali (dalam akhbar harian) biar semua orang tahu. "Jadi sama sahaja, bukan sahaja orang PAS dikatakan sertai Umno, tetapi orang Umno juga telah menyertai PAS, saja benda ni tak nak dihebohkan," ujarnya.