Make your own free website on Tripod.com


PAS Sedia Muzakarah - Mursyidul Am

KOTA BHARU, 2 April - PAS bersedia untuk mengadakan muzakarah mengenai apa yang didakwa Umno sebagai 'Amanat Haji Hadi' dengan syarat pertemuan itu perlu dihadiri sama Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS bersedia untuk membincangkan isu berkenaan asalkan Menteri Besar Terengganu itu turut dijemput. Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagaimanapun menegaskan pendirian parti itu sebagaimana diumumkan Presidennya, Dato' Fadzil Noor bahawa PAS tidak akan menarik balik 'amanat' berkenaan.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya Umno membuat amanatnya sendiri agar rakyat dapat menilai amanat mana yang dikatakan bercanggah dengan Islam. "Sudah lama PAS sebut berkenaan muzakarah, (tetapi) bukan caranya kita suruh amanat Haji Hadi ditarik, caranya ialah (Umno) bawa satu amanat lain dan dedahkan kepada rakyat, kita tengok rakyat terima yang mana satu.
"Cara itu paling baik, tapi kalau nak muzakarah lagi baik... tentulah kita bersedia untuk bermuzakarah, (bagaimanapun) muzakarah mesti dengan Haji Hadi, sebab amanat itu membabitkan beliau. "Mana boleh (muzakarah) terima orang lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Sultan Kelantan melawat rumah anak yatim Darul Aitam Putera di Lundang, dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Kelantan menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim dan golongan kurang upaya melibatkan 10 penempatan di seluruh negeri. Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Besar, Dato' Paduka Abdul Halim Abdul Rahman serta anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Baru-baru ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, adalah tidak lojik mahu mendesak Timbalan Presiden PAS menarik balik amanat tersebut kerana beliau bercakap berdasarkan ilmu yang dimilikinya.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat Haji Hadi tentunya dalam bentuk ilmu kerana beliau berkelulusan dari universiti Islam yang terkemuka di dunia.

"Jadi kalau Umno benar-benar mahu menarik balik amanat itu, suruh alim ulamak Umno jawab balas amanat Haji Hadi dan rakyat boleh menilainya. "Dan terpulang kepada rakyat hendak menerima amanat tersebut atau sebaliknya, terserah... itu lojiknya," jelasnya.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Dato Seri Najib Tun Razak meminta PAS menolak secara rasmi 'Amanat Haji Hadi' yang didakwanya sebagai punca kejadian kafir mengkafir.

Bagaimanapun Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor menegaskan, parti itu tidak akan menarik balik Amanat Haji Hadi dan meminta Umno membuktikan aspek mana amanat itu yang dakwa bercanggah dengan Islam.

Beliau turut melahir rasa hairan kenapa baru sekarang Umno bersungguh-sungguh untuk mengkaji ucapan Tuan Guru Abdul Hadi sedangkan ia berlaku 20 tahun lalu
.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan