Make your own free website on Tripod.com


90 Pelajar Cemerlang YIK Dirai

PASIR PUTEH, 2 April (Hrkh) - Seramai 90 pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) dalam kawasan parlimen Pasir Puteh diraikan dalam satu majlis yang dianjur oleh wakil-wakil rakyat kawasan berkenaan, kelmarin.

Kesemua pelajar terbabit merupakan pelajar cemerlang beberapa peperiksaan utama sepanjang tahun lalu termasuk Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah Ugama (PMRU), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Ugama (STU) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).Turut diraikan pada majlis itu termasuk guru cemerlang serta mudir setiap sekolah dalam parlimen tersebut.

Program pertama kali itu dianjurkan oleh Majlis Pendidikan Parlimen Pasir Puteh yang baru ditubuhkan hasil inisiatif kesemua wakil rakyat kawasan Pasir Puteh. Majlis Pendidikan Parlimen Pasir Puteh yang ditubuhkan awal tahun ini dinaungi Anggota Parlimen Pasir Puteh merangkap Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Alwi Jusoh.

Parlimen Pasir Puteh merupakan satu-satunya kawasan pilihan raya di Kelantan yang mempunyai empat Anggota Dewan Undangan Negeri.

Adun terbabit iaitu, Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Muhammad, Adun Semerak, Hussin Awang dan Adun Selising, Saipul Bahrin Mohamed.
Drs Zainuddin selaku penasihat majlis itu berkata, ia ditubuhkan bagi mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan di kalangan pelajar di kawasan berkenaan khususnya pelajar agama Yayasan Islam Kelantan (Yik).


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan