Daripada Wan Abdul Aziz Wan Mahmud
Berita Dari Thailand


Ketika Amerika bersiap untuk serang Taleban
Afghanistan dapat sokongan umat Islam


PATTANI (Selatan Thailand), 2 Okt – Amerika Syarikat diberi amaran agar usah menaruh keyakinan dapat mengalahkan tentera Taleban di Afghanistan sekalipun mendapat sokongan beberapa negara Islam.

Penasihat Angkatan Belia Islam Thailand (YMAT), Ustaz Mansor Saleh memberi ingatan bahawa walaupun Amerika Syarikat dan sekutunya berjaya memujuk beberapa pemimpin Islam seperti Arab Saudi dan Pakistan menyokong mereka, negara pengganas dunia itu belum pasti dapat menewaskan Afghanistan.

Ini kerana katanya, walaupun Afghanistan tidak mendapat simpati beberapa pemimpin Islam dan dunia barat, namun tentera Taleban mendapat sokongan umat Islam di seluruh dunia. Tambah beliau, Amerika Syarikat tidak menghadapi Taleban seorang diri, tapi di belakang mereka jutaan umat Islam tidak akan berdiam diri jika Afghanistan diserang negara itu.

“Kekuatan tentera Islam terletak pada semangat perjuangan dan kekentalan iman mereka, mereka rela mati demi mempertahankan kesucian Islam, mereka berjuang untuk syahid.

“Inilah yang sebenarnya menakutkan Amerika dan sekutunya, mereka jangan ingat dapat menghancurkan bumi Afghanistan ekoran sokongan yang diberi beberapa kerat pemimpin negara Islam sendiri.
“Umat Islam tidak sekali-kali merelai saudara seagama mereka dianiayai seorang diri,” tegasnya pada Forum Perdana mengenai isu semasa dunia Islam di  Masjid Darul Ehsan, Chaiburi, di sini malam semalam.

Seorang lagi panel ialah pendakwah terkenal di Selatan Thailand, Ustaz Ibrahim Yahya. Majlis itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Islam di sini yang menyebabkan jalan masuk ke tempat tersebut terpaksa dikawal pihak keselamatan. Malahan mereka yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk sehingga majlis selesai sepenuhnya.

Ustaz Mansor turut memberi ingatan kepada Perdana Menteri Thailand, Thaksin agar menarik balik sokongannya terhadap Amerika. Katanya, kerajaan Thailand tidak perlu mencampuri urusan Amerika kerana tindakan itu boleh menaikkan kemarahan masyarakat Islam negara itu.

Justeru itu beliau berharap kerajaan pimpinan Thaksin mengkaji semula sokongan mereka terhadap Amerika untuk menyerang Afghanistan.