Tanpa bukti: Taktik Bush, pemimpin Umno serupa


KOTA BHARU, 2 Okt  - Pendekatan yang digunakan Presiden Amerika membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Osama Ben Laden dianggap sama dengan kaedah pemimpin Umno menuduh sembilan pemuda PAS sebagai militan.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tuduhan yang dilemparkan tersebut adalah serupa kerana tidak mempunyai bukti jelas. Katanya, pemimpin Umno menuduh sembilan pemuda PAS sebagai militan dan terbabit dengan beberapa kes jenayah tanpa bukti jelas.

"Mereka menuduh pemuda yang ditahan ISA baru-baru ini sebagai militan dan mengaitkan pula dengan Kumpulan Militan  Malaysia (KMM - sebelum itu disebut Kumpulan Mujahidin Malaysia)," katanya di sini.

KMM pula dikaitkan dengan tuduhan membunuh bekas Adun Lunas, Dr Joe Fernandez, mengebomkan kuil Hindu dan menyerang Balai Polis di Kedah, sedangkan tidak ada bukti jelas mengenainya.

"Mana bukti..bila cukup bukti, kerana apa tidak bawa ke mahkamah..tahan sembilan orang hampir 60 hari, tak jumpa bukti lagi. Lama begitu sekali siasat, tahu-tahu tidak ada bukti.. main pakai tuduh.
"Kurung dalam ISA.. berasa puas dah jamu nafsu.. cukup 50 hari atau 60 hari kemudian bawa pula ke Kem Tahanan Kamunting," katanya.

Awal Ogos lalu, polis menahan sembilan pemuda PAS yang dituduh terbabit dengan militan kononnya untuk menjatuhkan kerajaan menggunakan kekerasan. Antara mereka yang ditahan termasuk anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz, 34.  Bagaimanapun mereka kini ditahan pula dua tahun di Kem Tahanan Kamunting atas arahan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Besar berkata, tidak ada beza apa dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan Presiden Amerika yang membuat tuduhan tanpa bukti.

"Perkara ini sama dengan sikap Bush yang mahu mengebom Afghanistan tanpa ada bukti kukuh penglibatan Osama Ben Laden," katanya.

Pada 11 September lalu, ribuan rakyat Amerika menjadi mangsa ekoran serangan berani mati menggunakan pesawat penumpang terhadap Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon di Washington. Ekoran serangan itu, Amerika menuduh Osama terbabit biarpun tanpa bukti yang jelas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sembilan pemuda PAS yang ditahan di Kamunting dituduh bersalah tanpa sebarang bukti.
"Tahanan ISA ni dia kata militan, jenis cakap seorang.. tahu-tahu dia kata salah, kemudian sumbat dalam penjara selama dua tahun.. ikut suka dia.  "Mana boleh," katanya.

Beliau juga mencadangkan Bush diserah kepada Afghanistan sekiranya Osama mahu diserah kepada Amerika.
Kata beliau, sekiranya perkara itu berlaku baru wujud keadilan sebagaimana dituntut Islam. 
.