MPKB bina menara berkembar RM172 juta

KOTA BHARU, 2 Dis  - Ibu negeri Kelantan bakal berubah wajah tidak lagi apabila sebuah menara berkembar setinggi 21 tingkat dibina yang membabitkan kos RM172 juta.

Pembinaan menara itu dijalankan melalui usahasama di antara Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan sebuah syarikat swasta.

Timbalan Yang Dipertua MPKB, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, menara itu akan menempatkan pusat membeli-belah, ruang pejabat dan hotel. Katanya, menara tersebut akan dibangunkan di tapak tanah milik MPKB yang dianggarkan mempunyai nilaiannya sebanyak RM10 juta.

"Pembinaan menara itu adalah di antara perancangan projek besar yang bakal dilaksanakan MPKB," katanya pada majlis taklimat mengenai pembangunan majlis perbandaran tersebut kepada Menteri Besar, di sini, 28 November lalu.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui pemberita selepas itu, berkata, projek pembinaan menara tersebut akan menjadi mercu tanda baru kepada bandar Kota Bharu. Menurutnya, sekiranya segala masalah teknikal berkaitannya selesai, kerja-kerja pembinaan dijangka dapat dilakukan tahun depan.

Sehubungan itu, beliau berkata, peniaga-peniaga kecil yang berniaga di kawasan terbabit (Parit Dalam) akan dipindah ke lokasi baru di Sri Cemerlang, tidak jauh pusat bandar.

Parit Dalam sekarang menjadi pasar malam yang cukup dikenali di Kota Bharu terletak bersebelahan Dataran MPKB dan perhentian bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Berhad. Kedudukan pasar malam tersebut yang strategik menyebabkan ia menjadi tumpuan ramai sehingga ke dinihari. Tapak pasar malam tersebut pada sebelah siang hari dijadikan tempat letak kenderan bertiket yang dikendalikan MPKB.

Menteri Besar berkata, stesen bas yang terletak di tengah pusat bandar juga dicadang dipindahkan ke lokasi baru di Sri Cemerlang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di tengah bandar.

Haji Abdul Aziz memberitahu MPKB juga melaksanakan projek pembangunan di beberapa tempat lain di kawasan pentadbirannya termasuk di Kedai Buluh yang membabitkan pembinaan 37 unit rumah kedai.
Selain itu, pembinaan kompleks niaga di Wakaf Che Yeh yang membabitkan sebanyak 40 unit dan melibatkan kos RM8 juta. "Pembinaan kompleks niaga tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2003," katanya.

Menurut beliau juga, MPKB sedang menyiapkan pembinaan pusat rekreasi yang dikenali sebagai Taman Tema Air Mini di Taman Indera Petra bersebelahan Kota Darulnaim, Jalan Kuala Krai dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.
Katanya, taman tersebut yang dijangka menjadi tumpuan kanak-kanak melibatkan kos sebanyak RM2.5 juta dan dijangka siap akhir tahun ini.

Pada taklimat yang sama Haji Abdul Aziz berkata, MPKB sekarang mempunyai aset yang bernilai RM51.5 juta dan kakitangan seramai 1,187 orang. Kawasan operasi MPKB sekarang merangkumi keluasan 252.36 kilometer persegi dan bilangan penduduk mengikut bacian tahun 2000 seramai 384,000 orang, di mana 86 peratus daripadanya orang Melayu.

Hadir sama pada majlis taklimat itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, Takiyuddin Hassan, Haji Anuar Tan Abdullah dan Yang Dipertua MPKB, Haji Ramli Abu Bakar.

Selepas taklimat tersebut Menteri Besar menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada kakitangan MPKB di kawasan kaunter punggutan hasil. Bahagian ruang legar kaunter tersebut dihampar tikar untuk membolehkan pegawai dan kakitangan MPKB mendengar tazkirah dan menunaikan solat berjemaah bersama Menteri Besar.


PKINK Tandatangan Usahasama Bina Pangsapuri

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menandatangani perjanjian usahasama dengan sebuah syarikat, Finconsult (M) Sdn Bhd bagi membina pangsapuri kos sederhana, sederhana rendah dan kompleks komersial di Seksyen 6 dan 9 berhampiran Menara Perbadanan, baru-baru ini.

Projek tersebut membabitkan kos RM100 juta akan mengandungi 260 unit kos sederhana rendah, 340 unit kos sederhana dan 370 unit kedai yang terletak di persisir Sungai Kelantan. Pembinaan pangsapuri setinggi 23 tingkat tersebut akan dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.