Ramai wanita Kelantan bergelar tokoh profesional

KOTA BHARU, 3 Jan -  Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa bangga di atas pencapaian wanita Kelantan sehingga menempa nama sebagai 'tokoh' di peringkat antarabangsa.

Katanya, pencapaian ini terbukti apabila wanita negeri ini juga turut berjaya dalam pelbagai bidang profesional yang setaraf dengan golongan lelaki.

"Saya berasa amat berbangga apabila mengetahui ramai wanita Kelantan berjaya bah kan sehingga ke peringkat antarabangsa dan saya merasakan sesuatu perkara yang baru," ujarnya selepas merasmikan program Majlis Bersama Tokoh Wanita Kelantan anjuran Yayasan Murni yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, sekiranya program seumpama itu tidak diadakan, tokoh-tokoh wanita Kelantan yang berjaya, sama ada di negeri ini atau luar negara tidak diketahui umum.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian beliau mengingatkan golongan wanita yang berjaya agar tidak melupai tanggungjawab mereka yang sebenar.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru golongan wanita mencontohi empat serikandi wanita Islam ternama dunia, iaitu Siti Khadijah, Asiah, Mashitah dan Fatimah yang terkenal dengan sifat bersih jiwanya di sisi Allah.

Beliau bagaimanapun yakin, tanpa kualiti, ketekunan dan sabar, kejayaan seperti sekarang tidak akan dimiliki mereka.

"Ia bukan datang percuma seperti ibarat bulan jatuh ke riba, sebaliknya perlu mengharugi pelbagai perit getir," ujarnya.

Sementara itu, tiga cendikiawan wanita Kelantan telah dinobatkan sebagai tokoh wanita Kelantan sempena majlis tersebut. Mereka ialah, Tokoh Wanita Malaysia 2001, Dato' Dr Nik Saifah Karim, Tokoh Antarabangsa, Rapiah Salim dan Tokoh Guru Malaysia 2001, Hajah Siti Aishah Abdul Rahman.

Isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak diberi penghormatan untuk menyampaikan cenderahati kepada tokoh-tokoh berkenaan.

Selain itu, turut diraikan seramai 23 lagi tokoh wanita Kelantan sempena majlis pelancaran projek penyelidikan biografi tokoh-tokoh wanita Kelantan.

Mereka termasuk Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, Hajah Kalthom Othman, bekas anggota parlimen Kota Bharu, Hajah Ilani Dato' Ishak dan Penerbit Filem, Puan Rohani Abdul Rahman (Rohani Nizarman Production).