Make your own free website on Tripod.com


Guna jentera kerajaan bercanggah prinsip agama

KOTA BHARU, 3 Jan -  Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta parti lawan tidak menggunakan jentera kerajaan semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun), Indera Kayangan, 19 Januari ini.

Menurutnya, amalan berkenaan bukan sahaja bertentangan dengan demokrasi, sebaliknya juga berdosa di sisi agama.
"Umno dan Barisan Nasional (BN) hendaklah menghadapi tentangan pihak lawan secara gentleman, iaitu perlawanan antara parti dengan parti dan bukannya antara jentera kerajaan dengan parti.

"Masalah BN berhempas pulas untuk mengekalkan calon mereka di Dun berkenaan, itu terpulang sebab kami pun berhempas pulas juga, tetapi biarlah cara demokrasi," katanya kepada Harakah selepas mesyuarat Exco, 2 Januari.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS meminta pengundi di Indera Kayangan mengulangi sejarah kemenangan calon Barisan Alternatif (BA) di Lunas. Beliau berkata, sudah sampai masanya rakyat menukar pemimpin mereka untuk ke arah kesejahteraan dan keadilan rakyat di negara ini.

Ketika ditanya berhubung calon, beliau berkata PAS akan menyokong sesiapa sahaja calon yang bakal bertanding di Dun berkenaan, tidak kira siapa asalkan ia dari BA.