Make your own free website on Tripod.com


Penduduk kesal Kesedar pinggirkan kemudahan asas

KUALA KRAI, 3 Jan  - Penduduk yang tinggal di kawasan rancangan pemulihan tanah (RPT) Biak A dan Biak B di kawasan Dewan Undangan Negeri Dabong menghadapi masalah untuk memasarkan hasil kebun kerana jalan yang menghubungkan kampung itu dengan tempat lain rosak teruk. Jalan sejauh lima kilometer berlompak, berlubang, berselut di musim hujan dan berdebu ketika kemarau.

Keadaan lebih malang lagi, apabila anak-anak penduduk tidak dapat ke sekolah apabila hujan lebat beberapa hari.
Penduduk mendakwa pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang diberi tanggungjawab membangunkan kawasan itu seolah-olah melepaskan tangan.

Seorang penduduk, Mohamd Salleh, 53 berkata, jalan di kampung itu tidak diberi perhatian oleh pihak berkaitan, sehingga keadaannya rosak teruk sekarang dan di sesetengah tempat sudah hampir ditutupi semak samun.

Katanya, penduduk pernah menebas semak untuk dilalui, namun tidak beberapa hari selepas itu, semak kembali menebal.
"Anak-anak takut untuk ke sekolah kerana semak samun terdapat di sepanjang laluan tersebut. Keadaan lebih sukar lagi apabila musim hujan kerana jalan itu berselut dan licin," katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung juga sukar untuk menjual hasil kebun ke tempat lain pada musim hujan.
Menurutnya, jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk di kampung terbabit untuk ke tempat-tempat lain.
Katanya juga, Kesedar yang mempunyai peruntukan besar tidak sepatutnya meminggirkan Biak A dan B daripada arus pembangunan.

Adun Dabong, Haji Abdul Ghafar Yusoff berkata, beliau sudah meninjau mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kampung tersebut dan mendapati jalannya begitu teruk.
Katanya, kawasan tersebut terletak di bawah pengawasan Kesedar yang diberi tanggungjawab menyediakan kemudahan untuk rakyat.

"Sepatutnya Kesedar membaiki segera jalan di kampung berkenaan yang dianggarkan sejauh lima kilometer bagi memudahkan penduduk berulang alik ke tempat lain dan menghantar anak-anak ke sekolah," katanya.
Menurutnya, Kesedar mempunyai peruntukan besar untuk melaksanakan projek menaikkan taraf jalan bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

Sehubungan itu, beliau berharap Kesedar memberi perhatian bagi mengatasi masalah terbabit terutamanya bagi merancakkan pembangunan di Kelantan Selatan.

Kesedar dipertanggungjawab melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat di jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.

Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan besar setiap tahun kepada agensi pembangunan tanah itu, untuk menyediakan kemudahan untuk rakyat.

Bagaimanapun pihak pengurusannya pernah mengeluarkan kenyataan, terpaksa memulangkan semula sebahagian peruntukan kepada kerajaan Pusat disebabkan tidak ada projek untuk dibangunkan.

Kesedar diwujudkan pada akhir 1970-an selepas kerajaan BN memerintah negeri ini bagi membangunkan kawasan Kelantan Selatan