Make your own free website on Tripod.com


Ancaman gajah liar resahkan penduduk

GUA MUSANG, 3 Jan  - Penduduk di beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri Dabong dan Paloh kesukaran keluar mencari rezeki di kebun masing-masing kerana sering diancam gajah liar.

Kampung terbabit termasuk Serasa, Pasir Kucing, Lintang, Kuala Sungai, Melar, Suda dan Miak tidak dapat keluar menoreh sejak beberapa bulan lalu kerana ancaman binatang liar tersebut.

Mereka mendakwa terdapat tiga kumpulan gajah liar yang dianggarkan berjumlah 50 ekor merayau-rayau di sekitar kampung berkenaan.

Gajah tersebut memusnahkan beratus-ratus ekar kebun kelapa sawit, anak getah, kebun pisang, dusun buah-buahan dan tanaman salak.

Seorang penduduk Kampung Serasa, Tengku Hassan Tengku Yusoff, 50 berkata, penduduk tidak lagi berani keluar menoreh sejak empat bulan lalu kerana takut ancaman gajah liar.

"Hampir setiap malam gajah masuk ke kampung kami. Mamalia tersebut memusnahkan tanaman menjelang waktu pagi dan kumpulan gajah itu berada tidak jauh dari perkampungan.

"Pada waktu siang gajah liar itu berada di hutan berhampiran dan keluar pada waktu malam terutamanya di awal pagi untuk mencari makanan," katanya.

Menurutnya, sebahagian besar penduduk di kampung itu kini kehilangan sumber pendapatan kerana tidak dapat keluar menoreh takut ancaman binatang hutan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Nik Deraman Nik Min, 35 berkata, beliau sekeluarga sering dilanda resah kerana tidak dapat keluar menoreh untuk menampung pendapatan keluarga.

Katanya, penduduk ketakutan untuk keluar menoreh kerana kumpulan gajah-gajah liar berada tidak jauh daripada kawasan kampung.

"Keadaan lebih malang lagi apabila ada rumah-rumah penduduk dikopek gajah sehingga dinding rumah koyak dan berlubang," katanya.

Menurutnya, penduduk pernah berjaga malam secara beramai-ramai untuk menghalau kehadiran gajah liar, namun kurang berkesan.

Oleh itu, beliau berharap pihak Perhilitan mengambil tindakan segera menghalau binatang liar itu ke tempat lain yang lebih jauh.

Sementara itu, Adun Dabong, Haji Abdul Ghafar Yusoff berkata, beliau meninjau sudah masalah yang dihadapi penduduk terbabit ekoran kehadiran gajah-gajah liar.

Katanya, beliau sudah mengadu masalah tersebut kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan selanjutnya.
"Saya juga telah membangkitkan dengan panjang lebar masalah berkaitan ancaman gajah-gajah liar pada persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini," katanya.

Ancaman gajah liar berlaku di banyak tempat di pedalaman Gua Musang termasuk di Dun Paloh dan Galas.
Banyak rumah dan tanaman milik penduduk rosak teruk kerana dimusnahkan binatang liar tersebut.