Ketatkan Akta Mesin Cetak: Kewarasan Pemerintah Hilang!
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
Ura-ura KDN mengetatkan lagi undang-undang sedia zalim, Akta Mesin Cetak
dan Penerbitan, termasuk mengenakan peraturan baru yang mewajibkan
laman-laman web turut mendapat permit KDN terlebih dulu membuktikan
kerajaan semakin tidak bertindak waras dalam isu kebebasan bersuara.
Peraturan sedia ada, yang nyata mengongkong akhbar-akhbar di negara
ini, sepatutnya dipinda bagi memberi kelonggaran yang lebih, bukannya
dengan mengetatkan lagi sisa-sisa kebebasan yang ada.
Selama ini, media cetak sudah cukup tertekan apabila setiap tahun permit
penerbitan perlu dipohon semula dan pihak KDN berhak untuk tidak
memperbaharui permit berkenaan tanpa sebarang alasan. Akta yang dipinda
pada 1987 itu memberi kuasa sepenuhnya kepada Menteri Dalam Negeri, sama
ada untuk menolak atau menerima permohonan baru, yang juga untuk
menggantung dan mengharamkan permit sedia ada.
Menteri juga berhak untuk tidak memberi apa-apa respons kepada sebarang
permohonan untuk mendapatkan permit baru. Dan apabila Menteri merasakan
perlu sesuatu penerbitan itu diharamkan, akta sedia ada memberi ruang
selesa untuk Menteri supaya tidak memberikan apa-apa sebab kepada
pengharaman itu.
Saya sendiri yang terbabit sepenuh masa dalam bidang penerbitan sejak
1986, langsung tidak pernah diberikan permit biarpun puluhan kali, sejak
1989 memohonnya. Malah, saya tidak pernah dimaklumkan apakah sebab-sebab
permohonan itu tidak diluluskan.
Dan lebih buruk lagi, sejak lebih setahun lalu, saya memohon empat permit
untuk menerbitkan akhbar mingguan, tetapi sehingga kini, Menteri Dalam
Negeri, Abdullah Ahmad Badawi, langsung tidak memberi apa-apa jawapan.
Saya dimaklumkan oleh pihak Unit Kawalan Penerbitan, KDN, bahawa sebarang
urusan mengenai permit akhbar (bukannya majalah atau penerbitan berkala
lainnya) hendaklah ditujukan terus kepada Menteri, dan tidak boleh
berurusan dengan pegawai-pegawai di bawahnya.
Saya juga dapat memahami bagaimana peritnya mengendalikan perniagaan media
apabila dua majalah di bawah seliaan saya, iaitu Detik dan Al-Wasilah,
diharamkan KDN sebaik saja keputusan pilihan raya 1999 diketahui.
Justeru, apabila Ketua Setiausaha KDN, Aseh Che Mat memaklumkan bahawa
draf pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang lebih zalim telahpun
siap, dan akhbar dalam talian juga akan turut dikongkong oleh akta
berkenaan, saya merasakan kewarasan pemerintah Barisan Nasional dalam
isu-isu kebebasan memberi pandangan dan pendapat secara terbuka, sudah
hilang sama sekali.
Ia hanya petanda jelas bagaimana pemerintah begitu takut dengan pandangan
yang berbeza daripada rakyat meskipun mereka telahpun menguasai sepenuhnya
media massa utama, seperti akhbar-akhbar harian (dalam semua bahasa, sama
ada bahasa Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, serta akhbar-akhbar di Sabah
dan Sarawak), siaran radio dan televisyen.
Sebenarnya pindaan yang akan dibuat dalam sidang Parlimen akan datang ini
tidak relevan sama sekali kerana yang sepatutnya dirombak ialah membuang
mana-mana peruntukan yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia
khususnya dalam isu kebebasan bersuara.
Kerajaan yang membenarkan rakyat bebas memberi pandangan adalah kerajaan
yang berjiwa besar dan berwibawa. Manakala pemerintah yang sentiasa
mencari jalan untuk menekan dan mengongkong rakyatnya -- bukan saja dari
bebas bersuara tetapi juga menghalang rakyat daripada menerima pandangan
kedua yang tidak mengaminkan apa saja titahnya -- adalah pemerintah yang
takut dengan bayang-bayang sendiri, akibat dosa-dosa yang dilakukannya
selama ini.
Selama ini, apabila penerbitan Harakah dikurangkan pengeluarannya daripada
dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, saluran alternatif untuk rakyat
mendapat perkembangan berita terkini hanyalah melalui akhbar-akhbar dalam
talian seperti Harakahdaily dan Malaysiakini, serta laman-laman web
lainnya seperti Tranungkite, Mahazalim, Detikdaily, Minda Rakyat dan
lain-lain lagi.
Jika saluran yang cukup terbatas ini pun mahu disekat -- apatah lagi
selepas pemerintah bertindak ganas mengharamkan ceramah umum meskipun
dalam markas parti pembangkang -- saya bimbang ia akan mencetuskan suasana
yang lebih tidak sihat, yang tidak akan menguntungkan sesiapa saja.
|