Wanita dipengaruhi dengan bantuan perniagaan

KOTA BHARU, 4 Mac -  Golongan wanita di negeri ini diingat lebih berhati-hati terhadap tipu helah Umno dan Barisan Nasional (BN) yang cuba 'mengikat' mereka dengan pelbagai bantuan dan pinjaman untuk berniaga.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Hajah Kalthom Othman berkata, terdapat bukti yang nyata golongan terbabit diperalatkan Umno selepas mendapat pinjaman atau bantuan perniagaan.

"Wang untuk berniaga menjadi umpan sehingga akhirnya mereka diminta menjadi jurucakap bagi mempertahankan Umno termasuk dalam gerakan politik," katanya pada taklimat khas sempena program Seminar Motivasi Remaja, di sini 1 Mac lalu.

Menurut Hajah Kalthom, golongan wanita yang lemah akan mudah termakan dengan tipu helah pihak tertentu, lebih-lebih lagi apabila dijanjikan kesenangan.

"Memang pada mulanya mereka tolong kita, bagi bantuan itu dan ini, kemudian bila dah berjaya kita akan diikat," ujarnya.

Beliau juga meminta anggota Unit Amal Nisa' Walbanat memainkan peranan aktif dalam masyarakat, khususnya  mendidik generasi muda ke jalan yang diredhai Allah.

Katanya, anggota unit berkenaan perlu melaksanakan agenda tersendiri dengan mendekati masyarakat, bagi menyaingi aktiviti yang dilakukan 'Puteri Umno'.

Beliau berkata, biarpun Puteri Umno hanya kelihatan hebat pada nama sahaja, namun aktiviti yang dilakukan mereka tidak boleh dipandang enteng.

"Kita diberitahu ramai golongan remaja menyertai Puteri Umno hanya untuk suka-suka dan tidak tahu matlamat perjuangan sebenar.

"Bagaimanapun kita janganlah leka kerana mereka adalah musuh politik kita," ujarnya.

Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Dewan Muslimat PAS negeri, Zuhroh Muhammad dan Pengarah Unit Amal Nisa' Walbanat Negeri, Wan Ubaidah Wan Omar.