Penduduk tempatan bantah projek BN di Songkhla

PENGKALAN CHEPA, 4 Mac - Hasrat kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mendapat keuntungan mudah daripada projek pendaratan gas di kawasan sempadan Malaysia - Thailand semakin terbantut apabila mendapat bantahan daripada penduduk tempatan, di negara jiran. Penduduk Songkhla di Selatan Thailand membantah projek saluran paip gas yang akan dibina melalui perkampungan mereka.

Anggota Dewan Negara, Senator Siti Zailah Mohd Yusof berkata, projek tersebut yang dilarikan daripada Bachok dan akan dibawa ke Kedah melalui Songkhla semakin berliku.

"Saya difahamkan kawasan pendaratan gas projek usahasama kerajaan Malaysia dan Thailand di Songkhla adalah kawasan penempatan penduduk. "Pemilik tanah di kawasan terbabit telah membuat bantahan terhadap pengambilan tanah mereka," katanya pada majlis ceramah Aidil Adha, anjuran Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa, di Kedai Buluh, di sini, 2 Mac lalu.

Senator Siti Zailah berkata, projek kerajaan BN itu akan menghadapi situasi sukar kerana rakyat di negara jiran membantah. Menurutnya, penduduk Thailand terkenal dengan sifat berani serta sanggup bertindak di luar dugaan demi mempertahankan hak mereka.

"Tidak macam penduduk di negara ini yang terpaksa akur dengan kehendak kerajaan apabila diugut dengan pelbagai undang-undang," ujarnya.

Beliau juga berkata, perkara seperti itu berlaku kerana kerajaan Malaysia cuba mengelak mendaratkan gas yang dirancang pada peringkat awalnya di Pantai Senok, Bachok tahun 2003 kerana ia boleh menguntungkan kerajaan Kelantan.

Dalam majlis itu juga, beliau mendedahkan penduduk di kawasan Parlimen Jeli kini menerima 'habuan' pihak tertentu sebagai umpan pilihan raya. Beliau difahamkan, ada di antara mereka khususnya muslimat diberi habuan antara RM1,000 hingga RM5000 setiap seorang.

"Sekarang mereka tak bagi dah... RM50 seorang, tapi ribu-ribu untuk memenangan mereka pada pilihan raya umum akan datang di kawasan Jeli," ujarnya. Turut hadir di majlis itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa, Ustazah Fatimah Hassan dan seorang peguam, Mumtaz Mohd Nawi yang menyampaikan ceramah berhubung Hak-hak Wanita.