Sidang Dun
 
Tempat bersejarah tarik pelancong
 
KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) - Kerajaan Kelantan sentiasa memelihara dan mengenalpasti tempat-tempat sejarah untuk dijadikan lokasi sesuai bagi menarik pelancong berkunjung ke negeri ini.
Selain itu, ia perlu dipertahankan bagi tatapan generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan dan Ngo, Haji Anuar Tan Abdullah berkata, bagi mencapai hasrat itu, Muzium Negeri dan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) diberi tanggungjawab khusus untuk memajukan bidang tersebut.

Ketika menjawab soalan Adun Selising Drs Saiful Bahrin Mohamed (PAS - Selising) katanya, pelbagai langkah dibuat untuk mengekalkan tempat-tempat bersejarah.
"Kerajaan negeri melalui TIC turut menyediakan risalah pelancongan untuk memudahkan pelancong memilih destinasi yang sesuai.

"Pihak Muzium Negeri dan TIC mencadangkan untuk mempopularkan tempat-tempat bersejarah yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan," ujarnya.
Drs Saiful dalam soalan asalnya ingin mengetahui langkah kerajaan negeri mengekalkan tempat bersejarah yang masih terbiar dan tidak dilindungi seperti peristiwa Tok Janggut melawan Inggeris di Pasir Puteh dan Puteri Saadong di Bukit Marak.
 
   

Kapasiti pengeluaran air semakin meningkat
 
KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) -  Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berjaya meningkat kapasiti pengeluaran air di negeri ini sebanyak 34 juta liter sehari sejak  mengambilalih pengurusan bekalan air di negeri ini.
Sekarang sebanyak 218 juta liter sehari berjaya dikeluarkan melalui loji-loji yang terdapat di negeri ini berbanding sebelum ini, hanya 184 juta liter sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ustaz Ahmad Yakob berkata, peningkatan itu sebanyak 18.5 peratus sehari.
"AKSB membelanjakan sebanyak RM2.6 juta untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air termasuk perbelanjaan rawatan dan baik pulih loji-loji air di seluruh jajahan.

"Dari jumlah itu, sebanyak RM1.26 juta dibelanja untuk menambahkan tahap pengeluaran air di Kota Bharu. Sehinga kini sebanyak 22 juta liter air sehari dapat dikeluarkan," ujarnya ketika menjawab soalan Ustaz Abdullah Abdul Razak (PAS - Gual Periuk).

Ustaz Ahmad berkata, AKSB juga mengeluarkan peruntukan masing-masing sebanyak RM250,000 bagi meningkatkan pengeluaran di Bachok dan Pasir Mas.

Selain itu, AKSB juga menambah Pusat Khidmat Pelanggan dengan menyediakan talian aduan khas di beberapa tempat di negeri ini. AKSB juga menganjurkan majlis dialog dengan pengguna seluruh jajahan di negeri ini untuk mendengar setiap masalah yang dihadapi.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ustaz Hassan Mahmood (PAS - Tawang) beliau berkata, sebanyak RM575,000 dibelanjakan oleh AKSB di Bachok bagi meningkatkan jumlah pengeluaran air. Peruntukan itu bagi penyelenggaraan loji di Tanjung Chat, Jelawat dan Cabang Tiga Melawi.
   


Kelantan tunggu kelulusan stesen radio
 
KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) - Warkah Darulnaim yang diterbit sejak Mac lalu menjadi media rasmi kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia, Sukan dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kub berkata, selain itu, kaedah lain yang digunakan bagi tujuan tersebut termasuk seminar, kursus dan penerbitan risalah.

"Program yang dikendalikan termasuk seminar dan kursus membabitkan penyertaan kakitangan kerajaan, swasta, Unit Dakwah Halaqat, penghulu dan ahli-ahli Majlis Daerah.
"Kaedah tersebut digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam," katanya ketika menjawab soalan Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman pada persidangan Dun, 25 Jun lalu.

Ustaz Abdullah juga berkata, program lain yang dianjurkan iaitu berkaitan penjelasan isu-isu semasa, pameran di luar Kelantan dan kursus pengukuhan rumah tangga dianjurkan jabatan kerajaan yang berkaitan. "Program yang dianjurkan itu turut dipromosi melalui teknologi maklumat
menggunakan kaset dan cakera padat," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menyalurkan maklumat terkini mengenai kerajaan negeri melalui hebahan di radio, apabila diberi kelulusan lesen oleh pihak berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan negeri pernah  memohon lesen mengendalikan radio sendiri, namun tidak dipertimbangkan Kementerian Penerangan.
Ekoran itu, kerajaan negeri mendapat kerjasama negara jiran menyiarkan maklumat melalui radio milik mereka termasuk radio RTA di Sungai Padi, Narathiwat.
________________
   


Hasil bumi perlu jadi milik negeri
 

KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) - Kerajaan Kelantan perlu memastikan hasil bumi yang terdapat di negeri ini kekal menjadi milik negeri ini, dan tidak terlepas kepada pihak lain. Perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sejarah menimpa kerajaan Terengganu yang disekat royalti petroleum oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berulang kembali.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Guchil, Ustaz Zulkifli Yakub berkata, kerajaan Kelantan hendaklah bertegas ketika mengadakan perjanjian dengan mana-mana pihak bagi memastikan bahan-bahan mentah seperti minyak, emas dan gas tidak terlepas kepada pihak lain.

"Ini kerana kita tidak mahu menjadi seperti Terengganu, di mana hasil kekayaan yang terdapat di negeri berkenaan dirampas dengan rakusnya oleh kerajaan BN, di mana royalti menjadi ihsan," ujarnya ketika membahaskan Enakmen Mineral 2001 dalam Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Yang Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ke-10, 25 Jun lalu.

Beliau juga berharap kerajaan Kelantan mencontohi Terengganu yang membuka kawasan perlombongan kepada rakyatnya mengikut garis panduan ditetapkan.
"Ini membolehkan rakyat merasai segala hasil kekayaan yang ada dalam perut bumi di negeri ini," katanya.

Beberapa jajahan di negeri ini termasuk Jeli dan Gua Musang dikenalpasti mengandungi emas yang bermutu tinggi.

Sementara itu, Adun Banggol Judah, Haji Zakaria Ya'kub ketika membahaskan enakmen yang sama berharap hasil sumber asli yang terdapat dalam perut bumi Kelantan menjadi sumber menambahkan pendapatan.

Kata beliau, sektor ekonomi Kelantan sebelum ini lebih banyak bergantung kepada sektor pertanian, perhutanan dan hasil tanah. "Adalah diharapkan hasil mineral ini akan menjadi sumber kewangan baru bagi kerajaan negeri," katanya.
______________________
   


Tidak bayar hasil tanah dipandang serius
 
KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) - Kerajaan Kelantan sehingga kini belum lagi menyenarai hitamkan mana-mana pihak yang tidak menjelaskan bayaran hasil tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, bagi menyedarkan rakyat terhadap tanggungjawab itu, kerajaan negeri lebih mengutamakan peringatan.

Katanya, pemilik tanah yang gagal membayar premium melebihi RM1,000 akan diberikan notis terlebih dahulu oleh Pejabat Tanah dan Jajahan. "Sekiranya mereka masih berdegil tindakan termasuk merampas tanah mereka boleh diambil," katanya menjawab soalan Haji Yusof Ludin (PAS - Panchor).
Kerajaan Kelantan sekarang menggunakan aplikasi komputer bagi kerja-kerja pendaftaran tanah menerusi Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB).

Takiyuddin berkata, biar pun pada peringkat awal sistem berkenaan menghadapi masalah, namun kerajaan berusaha mengatasi masalah itu sebaik mungkin. Menurutnya kerajaan negeri akan mempergiatkan urusan pengendalian sistem komputer di pejabat-pejabat kerajaan termasuk SPTB.
"Untuk itu, kesedaran serta kursus berkomputer di waktu kerja telah diadakan," ujarnya




Kegiatan tuba ikan dipandang serius
 
KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) - Kerajaan memandang serius kegiatan mencari ikan menggunakan kaedah tuba dan kejutan elektrik bagi mengawal spesis ikan pupus di beberapa sungai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Luar Bandar, Haji Omar Mohamad berkata, langkah lebih serius mengawal kegiatan itu terutamanya di sungai Nenggiri, Lebir, Galas dan Pergau.
"Sehingga kini seramai lima orang ditangkap pihak berkuasa kerana menjalankan kegiatan mmenuba, mengebom dan menggunakan kejutan elektrik untuk menangkap ikan di sungai-sungai utama di negeri ini," katanya ketika menjawab soalan Haji Abdul Ghafar Yusoff (PAS - Dabong) pada persidangan Dun, 25 Jun lalu.
Adun berkenaan ingin mengetahui sejauh mana langkah diambil kerajaan bagi membendung kegiatan menuba ikan di negeri ini.

Haji Omar berkata, pelbagai cara dilakukan untuk mengingatkan rakyat supaya menghindari gejala berkenaan termasuk kenyataan melalui akhbar, peringatan dalam khutbah Jumaat dan hebahan melalui radio.
"Sekiranya masih ada yang melakukan kegiatan ini, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985 dan Kaedah Perikanan 1997," ujarnya.
_______________


Pengeluaran padi di Kelantan meningkat
 
KOTA BHARU, 27 Jun (Hrkh) - Pengeluaran padi di Kelantan meningkat kepada 258,150 tan metrik tahun lalu, berbanding 192,000 tan metrik pada 1990.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Masyarakat dan Industri Desa, Haji Omar Mohamad berkata, peningkatan itu berlaku kerana pelbagai langkah dijalan untuk meningkat hasil pertanian tersebut.

"Banyak kawasan penanaman padi yang terbiar sebelum ini juga dipulih semula," katanya ketika menjawab soalan Haji Wan Othman Wan Yusoff (PAS - Tendong).

Beliau berkata, kawasan penanaman buah-buahan juga meningkat, di mana pada tahun 1990 keluasannya 10,989 hektar, meningkat kepada 55,667 hektar, tahun 2000.
Menjawab soalan tambahan Haji Zakaria Yaakub (PAS - Banggol Judah) beliau berkata, kerajaan negeri melalui agensi pertanian terutamanya Kada berusaha menghasilkan pengeluaran padi lima kali bagi tempoh dua tahun.

Terdahulu beliau memberitahu Dewan katanya, sebanyak RM17,100 diperolehi melalui pengeluaran makanan dalam tin yang dikendalikan sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) tahun lalu.
Pengeluaran produk pelbagai jenis kari sebanyak 8,000 tin berjaya memperolehi hasilnya sebanyak RM15,800.
Haji Omar berkata, di antara jenis-jenis produk yang diperkenalkan kilang milik Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad tersebut iaitu, kari ayam dan daging, rendang, sardin ikan dan air roselle.
Katanya, pihak terbabit juga akan menambahkan pengeluaran pelbagai jenis produk dalam tin di pasaran sekarang memandangkan permintaaan menggalakkan


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan