Pindaan Perlembagaan Kelantan
RAKYAT HARAP SULTAN PERKENAN
 

KOTA BHARU, - Rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat menjunjung kasih dengan meletak harapan tinggi supaya Sultan Kelantan memperkenankan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2001 yang dilulus pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 25 Jun lalu.

Mereka yakin sultan sebagai 'Payung Rakyat' tidak keberatan memperkenan pindaan tersebut bagi memastikan segala program pembangunan untuk rakyat dapat dilaksana dengan lancar.

Pengerusi Persatuan Guru-Guru Besar Sekolah Bantuan Kerajaan, Ustaz Zulkefli Zakaria berkata, rakyat yakin sultan akan berada di pihak benar dengan melaksanakan tugasnya secara ikhlas.
"Rakyat sentiasa memandang tinggi institusi kesultanan sebagai payung bagi segala lapisan rakyat," katanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Pasar Besar Kota Bharu, Salim Ahmad berkata, ahli-ahli persatuannya amat berharap sultan memperkenan pindaan tersebut bagi menunaikan hasrat majoriti rakyat.

Menurutnya, usaha kerajaan melakukan pindaan adalah di atas desakan rakyat yang mahu melihat pentadbiran negeri berjalan tanpa sebarang masalah.

Persatuan Pekerja-Pekerja Islam Kelantan, Wan Nik Yusof Ngah berkata, pihaknya amat berharap sultan memberi kerjasama yang baik terhadap hasrat murni majoriti rakyat.  "Kita cukup berkeyakinan sultan tetap bersama-sama rakyat untuk memastikan struktur pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.  "Anggota persatuan berharap kerajaan negeri dapat melaksanakan program untuk rakyat tanpa sebarang prejudis," tambahnya.

Pada persidangan Dun, 25 Jun lalu, kesemua wakil rakyat menyokong cadangan pindaan tersebut kecuali dua Adun dari Barisan Nasional (BN), Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Saufi Deraman (Galas) yang tidak hadir.

Pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri itu membabitkan Perkara 15 (1) dan Perkara 39 (2) yang berkaitan takrifan sultan bertindak mengikut nasihat Menteri Besar dan rang undang-undang menjadi undang-undang selepas tempoh 30 hari.

Seorang peniaga dari Kota Bharu, Afendi Daud menjelaskan pihak istana perlu bertindak secara rasional bagi mendekatkan semula rakyat dan raja, yang agak renggang sebelum ini.

Penyelia Dun Galas, Chek Hashim Sulaima meletak harapan tinggi, sultan akan bertindak mengikut peraturan bagi menyelesaikan segala masalah yang berlaku membabitkan pentadbiran kerajaan negeri.

Abdullah Ismail dari Lundang, 45 berkata, pindaan yang dilakukan kerajaan negeri adalah untuk menjelaskan kesamaran dalam peraturan berkaitan pentadbiran yang tidak kemas sebelum ini.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas berkeyakinan Sultan Kelantan patuh kepada undang-undang kerana sebelum ini tuanku menjelaskan baginda sebagai payung rakyat.
"Apa yang dilakukan kerajaan negeri sebelum ini adalah berdasarkan kehendak majoriti rakyat," katanya.

Beliau juga menasihatkan tuanku tidak mendengar hasutan segelintir pihak yang didalangi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), di mana mereka hanya mahu mengambil kesempatan murahan.
Katanya, kerajaan negeri melaksanakan pindaan sebagai melincinkan perjalanan jentera pentadbiran agar tidak digangu gugat pihak lain.

Seorang pegawai kerajaan di Gua Musang yang enggan mendedahkan identitinya menjelaskan sebagai sebuah negeri mengamalkan sistem demokrasi dan raja berperlembagaan, sultan seharusnya mengikut kehendak majoriti rakyat seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan.
"Dewan Undangan Negeri bertindak melulus pindaan adalah mengikut kehendak rakyat dan bukan kerana kepentingan lain," katanya.

Hasim Ibrahim seorang pengusaha hotel di Kota Bharu berkata, pihak istana perlu bertindak berdasarkan kehendak rakyat terbanyak dan bukan golongan minoriti.

Pengerusi KeADILan Kelantan, Ustaz Muhamad Mustafa bersyukur kerana kesemua Adun PAS menyokong usul berkenaan yang menggambarkan hasrat rakyat. Katanya, sebagai rakan Barisan Alternatif (BA), KeADILan turut dukacita kerana selama ini pentadbiran kerajaan negeri tidak berjalan sebagaimana yang sepatutnya.  Beliau yang juga anggota parlimen Peringat berkata, KeADILan berdiri teguh bersama kepemimpinan kerajaan negeri dalam menangani isu pindaan perlembagaan negeri.

"Bagi pihak KeADILan saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar dan pucuk pimpinan kerajaan negeri kerana berjaya menyelesaikan isu ini dengan baik. "Justeru itu saya berharap Sultan Kelantan memperkenankan rang undang-undang yang diluluskan oleh suara majoriti," katanya.

Ketua Pemuda KeADILan Kelantan, Zamakhsari Ibrahim turut melahirkan rasa gembira dan berharap selepas ini tidak berlaku lagi pegawai membelakangi kerajaan negeri. Katanya, sebagai rakyat Kelantan beliau melahir rasa dukacita kerana sebelum ini kerajaan yang dipilih rakyat tidak dapat menjalankan pentadbiran dengan berkesan.

Seorang guru, Mohd Nuri Yaacob berharap semua pihak menjalankan tugas masing-masing dengan penuh amanah. Katanya, rakyat akan kecewa sekiranya masih ada pegawai yang membelakangi arahan kerajaan negeri.

Pegawai Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Hamid Aziz kesal dua Adun BN tidak menghadiri sidang Dun, 25 Jun lalu untuk melaksanakan amanah rakyat di kawasan yang diwakilinya. Katanya, sebagai Adun mereka seharusnya menunjukkan teladan baik dan menghadiri persidangan Dun, bukannya berkokok di luar gelanggang.

Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) turut memandang serius campur tangan Umno Kelantan yang sengaja menimbulkan kekeliruan rakyat terhadap pindaan Perlembagaan di Kelantan.
Ketuanya, Ustazah Hajah Nuridah Salleh berkata, Umno juga ingin mengheret pihak istana dalam 'gelanggang politik bankrap' yang akan mencetuskan suasana tidak tenteram.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar, menyifatkan pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan berhubung kuasa sultan amat bertepatan dengan keperluan semasa.
Pihaknya turut menyokong pindaan berkenaan dan menyifatkan pindaan itu bertepatan dengan apa yang telah dibuat kerajaan Pusat.
"Kerana itu tiada sebab usaha ini hendak ditentang, kerana kerajaan Kelantan hanya mengikut apa yang telah dilakukan kerajaan Pusat," ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pelajar, anggota-anggota badan bukan kerajaan, parti, Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat, Dewan Ulamak yang memberi sokongan padu bagi menjayakan hasrat tersebut.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat dari segenap lapisan, penyokong PAS di seluruh negara dan Umno yang turut melahirkan sokongan terhadap usaha dilakukan di Kelantan," ujarnya


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan