Rebut tender punca projek lambat dilaksana

KOTA BHARU, 4 Dis - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar mendedahkan berlaku elemen 'perebutan' mendapat tender di kalangan pemimpin Umno menyebabkan projek yang sudah lama dilulus kerajaan Pusat belum dilaksanakan.

Beliau berkata, amalan pilih kasih dan kronisme begitu menebal di kalangan pemimpin Umno menyebabkan projek yang sepatutnya sudah dilaksanakan, belum lagi bermula.

"Ketua-ketua bahagian Umno berebut hendak meluluskan secara tender runding kepada kroni masing-masing.
"Malah ada kes di mana kelulusan sudah diberi kepada kontraktor bukan kroni ketua bahagian tertentu, menyebabkan tender lain terpaksa dibuat semula.

"Ini secara tidak langsung menyebabkan projek bagi faedah rakyat lambat dijalankan," katanya pada ceramah di Masjid Lama Tanjung Chat di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan serupa berlaku kepada projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), di mana amalan pilih kasih begitu berleluasa sekali. Beliau mendakwa, pernah berlaku penyokong Umno yang sudah ada kereta dan rumah diberi lagi rumah subsidi di bawah PPRT kerana mempunyai hubungan rapat dengan ketua bahagian.

"Sebab itu PPRT lebih sesuai dikenali sebagai Program Pembangunan Rakyat Terpilih dan bukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin," katanya.

Menurutnya juga, penglibatan secara langsung Umno pada setiap projek yang dilaksanakan kerajaan Pusat semakin ketara sekarang. Katanya, Umno tidak segan untuk menampalkan lambang dacing pada setiap projek baru yang dilaksanakan kerajaan Pusat.

Beliau berkata, rakyat negara ini sekarang sudah menjadi semakin muak dengan sikap pemimpin Umno yang semakin melampau.

"Pemimpin Umno perlu sedar rakyat negara ini sekarang sudah ramai yang cerdik dan bukan lagi buta huruf, mereka dapat menilai setiap perkara yang dilakukan kerajaan BN," tambahnya.

Pada ceramah yang sama beliau juga menyalahkan kerajaan BN kerana mencetus isu militan di dalam negara sehingga diambil kesempatan Amerika untuk melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara pengganas.

Katanya, tindakan kerajaan BN sebelum ini telah mengundangkan negara ini untuk disenaraikan dalam kumpulan 27 negara yang dilabelkan sebagai pengganas.

Sebelum ini, kerajaan BN mencipta Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan kemudian ditukar pula kepada Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dikaitkan dengan pemuda-pemuda PAS yang pernah berjuang di Afghanistan.
Ekoran itu, sembilan pemuda PAS ditahan dan kini sedang menjadi hukuman di Kem Tahanan Kemunting tanpa dikemukakan bukti kukuh kesalahan mereka mahu menjatuhkan kerajaan menggunakan kekerasan.




Harakah