Make your own free website on Tripod.com


Kelantan hanya terima geran wajib RM20 juta

KOTA BHARU, 4 Dis  - Sikap diskriminasi kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan negeri yang ditadbir PAS tidak pernah luntur biar pun sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu. Keadaan itu terbukti apabila setiap peruntukan yang perlu diagih kepada kerajaan PAS dipermain dan dilambat-lambatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan berkata, geran perkapita bagi tahun ini hanya diterima sebanyak RM20 juta sehingga akhir November lalu, daripada RM120 juta yang diperuntukan.

Katanya, geran itu sepatutnya dibayar pada Jun lalu, namun tidak berlaku sebagaimana sepatutnya. "Hanya RM20 juta yang dibayar sehingga akhir November lalu.

"Sebab itu, kita merasa gundah sebagaimana disebut pada tajuk dokumentari yang diterbitkan penyelidik Koperasi Usaha Bersatu (KUB) menyebut Kelantan Ceria Dalam Gundah seperti disiarkan melalui RTM," katanya pada ceramah Nuzul al Quran di Masjid Lama Tanjung Chat, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, anggota parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan anggota parlimen Kota Bharu, Haji Ramli Ibrahim.

Ceramah Nuzul al Quran itu dikatakan menjadi isu kepada akhbar apabila mengutarakan pandangan penceramah berkisar isu politik dan bukan agama.

Takiyuddin berkata, kerajaan Kelantan pernah menerima geran wajib bagi tahun 1993 pada Julai 1994.

"Biarpun kerajaan BN cuba melambatkan-lambat pemberian geran wajib, namun kerajaan negeri masih mampu membayar gaji kakitangan, tidak sebagaimana berlaku kepada dua kerajaan negeri yang ditadbir BN iaitu Kedah dan Perlis.
"Kerajaan terbabit terpaksa meminjam untuk membayar gaji kakitangan," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, rakyat tidak sepatutnya terus memberi peluang kepada kerajaan BN berkuasa pada masa akan datang bagi mengelakkan negara menjadi bankrap.

Sementara itu, Haji Ramli berkata, kerajaan BN terus menafikan hak rakyat apabila peruntukan sebanyak RM500,000 kepada setiap wakil parlimen pembangkang dinafikan.

Katanya, peruntukan tersebut tidak diagihkan kepada calon yang dipilih rakyat, sebaliknya memberi peruntukan itu kepada ketua-ketua bahagian Umno.

"Malah kita dengar peruntukan tersebut akan ditambah lagi kepada RM1 juta dan setiap 10 peratus daripada jumlah tersebut boleh dibelanja tanpa memerlukan resit untuk diaudit semula.

"Peraturan itu akan membolehkan ketua-ketua bahagian Umno yang memperolehi peruntukan tersebut membelanjakan sesuka hati mereka duit rakyat," tambahnya.



Harakah