Usia 55 tahun: MASANYA UMNO BERUNDUR

KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) - Umno yang menjadi tunggak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang diminta berundur dari pentas politik, memandangkan usianya kini sudah melebihi 55 tahun.
Tahap usia itu sekarang masih lagi menjadi formula bagi setiap rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan kerajaan untuk meninggalkan perkhidmatan bergaji bulan.

Nasib malang menghantui Umno memandangkan kerajaan hanya baru mengumumkan usia genap 55 pada 1 Oktober 2001 sahaja yang masih layak untuk menyambung perkhidmatan setahun lagi.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, amat sesuai sekali Umno meninggalkan pentas kekuasaan dalam politik Malaysia memandangkan sejak 55 tahun lalu, perjuangan parti itu semakin ditolak majoriti rakyat.

Katanya, sekiranya Umno masih berdegil dan enggan mengalah dalam tempoh terdekat ini, pastinya kemaluan yang amat sangat yang bertandang ke seluruh jiwa raga parti itu.
"Mereka akan ditolak dengan cara lebih hina lagi pada pilihan raya akan datang memandangkan rakyat sudah melihat Umno bukan lagi aset kepada mereka sebaliknya sebagai liabiliti," katanya.

Baru-baru ini, Umno merayakan ulangtahun ke-55 tahun penubuhannya di Pusat Dagangan Dunia Putra dengan menjemput veteran-veteran Umno untuk hadir amanat terakhir Presidennya.
Perdana Menteri yang semakin ditolak ahli parti sendiri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad merasmikan perhimpunan yang dianggap pada ambang terakhir bagi usia politik Umno di negara ini.

Zaki yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Tumpat berkata, penolakan rakyat dan krisis dalaman yang berlaku dalam Umno bakal mencatatkan Umno ke dalam senarai arked negara tidak lama lagi.

Anggota parlimen Jeli, Haji Apandi Mohamad berkata, sokongan orang Melayu kepada Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum lalu sudah cukup untuk membuktikan Umno semakin ditolak rakyat.

Katanya, keupayaan BA meraih sehingga 64 peratus undi orang Melayu adalah sesuatu yang mengejutkan Umno dan keadaan parti itu semakin parah sekarang.

"Berdasarkan kepada perkembangan semasa yang berlaku hari ini, pertambahan undi Melayu kepada BA semakin meningkat dan undi bukan Melayu juga sudah menampakkan berpecah dua.
"Pada pilihan raya umum lalu, undi bukan Melayu masih lagi menyebelahi BN, namun pada pilihan raya akan datang, keadaan dilihat sudah menampakkan perubahan besar," katanya.
Beliau juga berkata, keadaan cukup berlainan dengan PAS dan BA, di mana semakin dikerumumi rakyat dari segenap lapisan."Usia PAS biarpun akan genap 50 tahun Ogos depan, namun fizikalnya semakin cergas dan diminati ramai," ujarnya.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan