Make your own free website on Tripod.com


Pendidikan Yik cemerlang selepas era 90-an

KOTA BHARU, Mei (Hrkh) - Kerajaan Kelantan sentiasa memastikan sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) berusaha meningkatkan mutu pendidikan mengikut perkembangan semasa.

Anggota Exco, Takiyuddin Hassan berkata, usaha tersebut penting untuk memastikan kecemerlangan pendidikan Yik dapat dipertahankan. Menurutnya, kecemerlangan itu dilihat lebih menonjol sejak 1990 berbanding sebelum tempoh tersebut.

"Ini menggambarkan satu perubahan yang drastik ditonjolkan kerajaan negeri yang sedia ada sekarang," katanya ketika merasmikan Kursus Pengurusan Sekolah Bagi Pengetua SMU (Arab) Bantuan Kerajaan bertempat di Perdana Resort, Kota Bharu, di sini, 15 Mei lalu.

Kursus tersebut dianjurkan Majlis Pengetua SMU (Arab) Bantuan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan. Turut hadir pada majlis tersebut,  Ketua Penolong Pengarah ( Pendidikan ) Yik, Ustaz Mansur Daud.

Menurut Takiyuddin, kerajaan Kelantan sentiasa memberi kerjasama bagi menyediakan peruntukan untuk menjayakan sebarang kursus ke arah memantapkan bidang pendidikan.

"Ini menggambarkan keprihatinan kerajaan PAS bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran sekolah Yik akan meningkat, khususnya berkaitan prestasi akademik.
"Kerajaan negeri amat bersyukur kerana perubahan dari segi aspek pentadbiran dan pengurusan sekolah-sekolah Yik sekarang, memberi input kepada perkembangan bidang akademik," katanya


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan