Make your own free website on Tripod.com


Kelantan agih lebih 6,600 lembu pawah

KOTA BHARU, Mei (Hrkh) - Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk miskin di negeri ini termasuk mengagihkan lembu-lembu pawah.

Sehubungan itu, tahun ini sebanyak 6,681 lembu diagihkan kepada petani miskin di seluruh Kelantan sebagai punca pendapatan sampingan bagi mereka.

Pengerusi jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, Haji Omar Muhamad berkata, bantuan lembu secara pawah diberi kepada rakyat miskin tanpa mengira mereka menyokong parti mana sekalipun.

"Kita mahu setiap rakyat yang berhak mendapatkan lembu tersebut diberi peluang untuk memilikinya dan bukan mereka yang sudah mempunyai berpuluh ekor lembu," katanya di sini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan taklimat kepada wakil-wakil rakyat dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan jajahan di Bilik Gerakan Negeri.

Haji Omar berkata, pemilihan penduduk yang mendapatkan lembu pawah tersebut bukan berpandu mereka yang dekat dengan kerajaan atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berharap wakil-wakil rakyat dan penghulu memastikan mereka yang disenarai mendapatkan bantuan lembu tersebut benar-benar berkelayakan.

Katanya, kerajaan tidak mahu ada petani yang masih merugut gagal memperolehi lembu pawah sedangkan mereka berkelayakan untuk memilikinya.

Selain itu, beliau mahu wakil rakyat dan penyelia Dun memastikan setiap penduduk yang mendapat bantuan lembu pawah dapat membelanya dengan sempurna bagi menghasilkan pendapatan sampingan bagi mereka
.



Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan