Make your own free website on Tripod.com


Maahad Lelaki bina bangunan RM3.35 juta

KOTA BHARU, Mei (Hrkh) - Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi (Lelaki) mengorak langkah lagi ke depan apabila berusaha melengkapkan prasarana bagi memantapkan bidang pendidikan.

Baru-baru ini, sebuah bangunan baru yang bernilai RM3.35 juta diletak batu asas pembinaannya dan dijangka siap sepenuhnya Jun tahun depan.

Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Haji Abdul Aziz Yusoff berkata, bangunan setinggi empat tingkat itu akan dilengkapkan dengan 31 bilik darjah. Selain 31 bilik darjah, bangunan itu juga disediakan dewan serbaguna iaitu di tingkat bawah, bilik makmal di tingkat dua dan di tingkat tiga, bilik komputer serta pusat sumber.

"Bangunan itu didirikan di atas tanah seluas 400 kaki persegi panjang dan 40 kaki lebar ini dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2002 setelah projek pembinaannya bermula awal Januari lalu.
"Dengan siapnya bangunan baru ini, sesi petang tidak diperlukan lagi dan para pelajar dapat menumpukan pengajian mereka dalam situasi yang tenang," ujarnya pada majlis perletakan batu asas pembinaan bangunan berkenaan, 22 April lalu.

Perletakan batu asas itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Hassan Muhamad sebagai mewakili Menteri Besar. Turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri, Haji Jalaldin Hussin, Timbalan Pengarah Yik, Haji Mohd Nasir Che Ali dan Pengetua Maahad Muhammadi, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad.

Ustaz Wan Roslan berkata, sekolah tersebut akan menjadi sekolah bestari yang mampu meningkatkan prestasi dalam semua peperiksaan.
Katanya, Maahad Lelaki sekarang mempunyai pelajar seramai 1,934 orang dan mereka terpaksa mengikuti pengajian dua sesi iaitu 28 kelas di sebelah pagi, manakala petang 24 kelas.
"Disebebkan masalah bilik darjah juga, kelas tambahan terpaksa diadakan pada Jumaat dan Sabtu, ini bermakna mereka terpaksa belajar penuh dalam seminggu," ujarnya



Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan