ISA tidak mampu bendung kebangkitan rakyat

KOTA BHARU,  20 Mei (Hrkh) - Gelombang kebangkitan rakyat menentang kerajaan tidak akan berakhir biarpun pemerintah menggunakan formula kekerasan termasuk ISA bagi menanganinya.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, semakin kuat kerajaan mengenakan tekanan terhadap rakyat, menyebabkan mereka bertambah bersemangat bangkit menentang pemerintah.

Katanya, di dalam teori pemerintahan beliau tidak nampak kekerasan boleh digunakan untuk menentang kebangkitan majoriti rakyat. "Sepatutnya kerajaan menggunakan kaedah pujuk dan bukannya kekerasan bagi mengawal kebangkitan rakyat," katanya di sini. Menurutnya, perkara itu sudah terbukti sejak zaman awal kebangkitan Islam termasuk semasa pemerintahan Khalifah Omar Abdul Aziz.

Ketika pemerintahan khalifah berkenaan, seorang Gabenornya di Khurasan mengutus surat kepada Omar untuk meminta kebenaran menggunakan kekerasan (undang-undang tentera) bagi mengembalikan keamanan di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun Khalifah Omar menganggap kaedah kekerasan bukan langkah terbaik untuk mengembalikan ketenteram di wilayah Khurasan.

"Khalifah Omar mengatakan dusta sekiranya hanya dengan kekerasan boleh mengembalikan keharmonian di wilayah tersebut," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, keharmonian dan kedamaian hidup rakyat hanya dapat diwujudkan melalui perasaan kasih sayang di antara pemerintah dan rakyat.
Begitu juga dalam institusi kekeluargaan, perasaan kasih sayang dan semangat toleransi yang tinggi sahaja mampu untuk melahirkan keluarga bahagia.

Kata beliau, keluarga yang berada dan hidup dengan segala kemewahan belum tentu dapat melahirkan suasana bahagia tanpa diadunkan dengan sikap toleransi serta berkasih sayang.

Baru-baru ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengenakan tindakan ISA terhadap 9 pemimpin KeADILan dan seorang anggota Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kononnya mereka mahu menjatuhkan kerajaan melalui demontrasi jalanan.

Antara yang ditahan termasuk Naib Presiden KeADILan, Tian Chua dan Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan Pusat, Ezzam Mohd Noor.

Penahanan mereka tanpa bicara disifatkan pemerhati politik terpaksa digunakan kerajaan BN kerana pemerintah yang ada hari ini gagal membuktikan di mahkamah terhadap dakwaan menjatuhkan kerajaan.

Kerajaan BN juga gagal untuk menyekat kebangkitan rakyat sehingga menggunakan senjata paling lapuk dan di luar batas kemanusiaan untuk mengekangnya. Malah setiap kali demontrasi secara aman diadakan, kerajaan menggunakan kaedah kekerasan termasuk memancut gas pemedih mata.
Malah pelbagai kekerasan lain turut digunakan kerajaan BN bagi menghalang kebangkitan rakyat terutamanya selepas peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1997. Ekoran itu, kesedaran rakyat terhadap pelbagai tindakan di luar perhitungan biasa kerajaan dibantah secara terbuka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan BN tidak mampu untuk menghadapi kebangkitan rakyat dengan formula kekerasan yang digunakan sekarang. "Rakyat tidak akan serik biar pun pelbagai tekanan dikenakan," tambahnya


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan