Make your own free website on Tripod.com


Kelantan awasi elak berulang wabak taun 

KOTA BHARU, 20 Mei (Hrkh) - Kerajaan negeri berharap Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini mengawasi kebersihan premis-premis menjual makanan untuk memastikan wabak taun tidak berulang lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ustaz Ahmad Yakub berkata, pemantauan terutamanya dari aspek kebersihan dan persekitaran perlu dilakukan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi terbabit.

"Langkah pencegahan awal cukup penting, sebelum wabak yang pernah melanda Kelantan sebelum ini berulang kembali," katanya di sini.

Baru-baru ini, wabak taun melanda Selangor sehingga menyebabkan satu kes kematian. Ekoran perkembangan penyakit taun, kerajaan Selangor mengarah pihak berkuasa tempatan menyediakan bilik gerakan bagi memantau wabak itu.

Mengikut laporan akhbar 16 Mei lalu, 133 premis di Selangor diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Biarpun wabak tersebut agak serius, namun ia tidak menjadi isu kepada media arus perdana, berbanding apa yang telah dilakukan oleh akhbar terhadap Kelantan sebelum ini.

Wabak taun di Kelantan dijadikan isu utama sehingga beberapa hari oleh akhbar dan banyak pihak termasuk Umno serta kerajaan Pusat memperlekehkan Kelantan ekoran wabak tersebut.
Bagaimanapun setelah wabak yang sama melanda negeri Barisan Nasional, ia bukan lagi dijadikan isu utama dan berita yang disiarkan hanya sekadar laporan biasa.

Wabak taun yang melanda Kelantan sebelum ini dikenalpasti antara puncanya, ekoran kegemaran penduduk di tepi-tepi Sungai Kelantan memakan etak (sejenis siput sungai). Etak tersebut tidak dimasak dan hanya sekadar disalai pada pancaran terik matahari.

Ustaz Ahmad berkata, badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai perlu turut mengembeling usaha bagi memastikan wabak taun yang pernah melanda Kelantan tidak lagi berulang. Katanya, orang ramai perlu mengutamakan kebersihan dalam penyediaan makanan dan memastikan makanan dimasak terlebih dahulu.

"Makanan yang mudah terdedah kepada jangkitan kuman taun hendaklah dielak terutamanya pada musim sekarang," tambahnya. Selain itu, beliau turut mengingatkan peniaga-peniaga makanan di pasar-pasar malam lebih mengutamakan kebersihan dan mengelakkan makanan yang dijual terdedah kepada jangkitan lalat


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan