Pelancongan: Kelantan kutip RM864 juta

KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) -  Pendapatan Kelantan dari sektor pelancongan tahun lalu berjumlah RM864 juta iaitu hampir 30 peratus daripada keluaran dalam negeri kasar. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, Haji Anuar Tan Abdullah berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini semakin menggalakkan.

"Sektor ini menduduki tempat kedua selepas sektor pertanian dari segi sumbangan kepada pendapatan ekonomi negeri," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA) Cawangan Kelantan kali pertama, di Hotel Rennaissance, di sini 17 Mei lalu.

Menurutnya, sektor itu boleh dijadikan penyelamat ekonomi negeri ini berbanding bidang lain yang sangat sensitif dengan tekanan kuasa pasaran.

Haji Anuar berkata, jumlah pelancong ke Kelantan bertambah berbanding 10 tahun lepas, di mana tahun 2000 mencatat kedatangan pelancong seramai 2.7 juta orang, berbanding hanya 683,403 orang tahun 1990.

Katanya, dalam tempoh tersebut pertambahan jumlah kedatangan pelancongan di antara lapan hingga 10 peratus setahun. Bagaimanapun beliau berkata, walau pun berlaku pertambahan jumlah pelancong, namun strukturnya iaitu segmen pasaran domestik menguasai pasaran dalam lingkungan 80 peratus berbanding pasaran antarabangsa hanya 20 peratus.

"Tahun lepas misalnya, seramai 2.2 juta pelancong domestik menguasai pasaran pelancongan negeri ini, berbanding hanya seramai 527,969 pelawat luar negara," ujarnya. Katanya lagi, pada tahun lalu pelancong dari 30 negara mengunjungi negeri ini antaranya Thailand, Singapura, United Kingdom, Jepun dan Korea.

Dalam usaha membangun sektor pelancongan tambahnya, kerajaan negeri menyediakan rangka pelan pembangunan sektor pelancongan melalui pelan strategik pembangunan negeri Kelantan.
Menurutnya, dalam kajian itu, Kelantan mewujudkan sembilan zon pelancongan, antaranya ialah zon sumber pelancongan semulajadi, sejarah dan arkeologi, kebudayaan dan keagamaan.

"Pihak pemaju dan pelabur boleh mengambil peluang ini dengan mengkaji semua tempat-tempat yang dicamkan untuk dimajukan.

"Kerajaan negeri bersedia untuk memberi kerjasama dan galakkan kepada pemaju-pemaju bagi membangun kawasan-kawasan berkenaan sebagai pusat pelancongan," ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu, Presiden MATTA Kebangsaan, Dato' Seri Iskandar dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Kelantan, Haji Nordin Mohammad
.



Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan