Kerajaan negeri galak aktiviti kebudayaan

KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) - Kerajaan Kelantan sentiasa memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti kebudayaan yang dianjurkan Badan Kebudayaan Negeri, selagi ia tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri. Dasar yang ditetapkan iaitu menetapi prinsip-prinsip ajaran Islam dan mengelakkan perkara yang merosakkan aqidah.

Pengerusi jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, Haji Anuar Tan Abdullah berkata, sesuatu kebudayaan yang wujud lahir dari dua asas iaitu perubahan dunia dan masa serta aspek keagamaan.

"Bagi umat Islam perubahan budaya mesti berasaskan ketentuan agama yang manjadi dasar kepada kehidupan umat Islam, malah pengukuhan dan perkembangan budaya juga mestilah berdasarkan ajaran agama," ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-12 Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan di Gelanggang Seni sebagai mewakili Menteri Besar.

Beliau juga berkata, Islam adalah agama universal, di mana boleh menerima pakai aspek budaya mana-mana bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. "Kerajaan Kelantan cuma melarang warisan tradisi seperti wayang kulit, makyong dan menora, yang mana permainan itu berasal dari epik Hindu iaitu Ramayana dan Mahabarata.

"Perubahan dan larangan itu dibuat bagi melaraskan kegiatan kita dengan agama Islam sebagai agama Ad-din," ujarnya.
Menurutnya lagi, pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Kelantan yang mengatakan kerajaan PAS sebagai pembunuh budaya adalah tidak timbul sama sekali. Sedangkan kata beliau kerajaan PAS sentiasa manggalakkan perkembangan aktiviti kebudayaan.

"Sebagai sebuah kerajaan yang beramanah kepada agama dan rakyat, kerajaan Kelantan mesti bertanggungjawab melaksanakan amanat serta kehendak rakyat.
"Kerajaan juga membenarkan rakyat yang bukan beragama Islam mengamalkan budayanya asalkan tidak menimbulkan ancaman kepada kehidupan bermasyarakat," tambahnya.



Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan