Make your own free website on Tripod.com


USM Kelantan Lahir 200 pakar perubatan

KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) - Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Syed Ahmad Hussein berkata, sehingga kini USM Cawangan Kelantan berjaya melahirkan lebih 200 doktor pakar dalam pelbagai bidang.

Katanya, USM akan terus berusaha akan menambahkan kursus baru dari semasa ke semasa bagi memenuhi aspirasi negara dalam bidang pendidikan perubatan. Beliau juga memberitahu Kampus Cawangan di Kubang Kerian akan menawarkan kursus Sarjana Perubatan Neurosurgeri dan Surgery Rekonstruktif mulai sesi 2001/2002. USM merupakan universiti yang pertama menganjurkan kedua-dua kursus itu.

"Di samping itu, perkara yang paling dititikberatkan adalah berkaitan mutu para graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malahan dari segi kepemimpinan dan saksiah," katanya dimajlis makan malam dan penganugerahan hadiah cemerlang bagi pelajar Sarjana Perubatan lepasan universiti itu, baru-baru ini.

Majlis itu dianjurkan Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) buat kali keempatnya. Hadir sama wakil Naib Cancelor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Dato' Ani Arope, Penaung PADU, Prof Mafauzy Mohamed dan Pengarah Kampus USM Kampus Kesihatan, Prof Madya Dr Zabidi Azhar Mohd Hussin.

Turut hadir beberapa wakil dari syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa antaranya, En David Koay, Pengurus B.Braun; Ho Nee Fang, Penolong Pengarah Pengurusan Bayer, Cik Lyn Bourke, Pengurus Am Radiometer Copenhagen, Ven Rhman, Pengarah Urusan Carl Zeiss Malaysia serta Pengurus Kumpulan Perniagaan Perubatan bagi negara-negara Asia Tenggara dan India, Azman Jufri.

Sementara itu, Penaung PADU, Tan Sri Ani Arope berkata, anugerah yang diterima tersebut diharap menjadi pendorong dan pemangkin supaya meneruskan ketekunan dan kecemerlangan perkhidmatan.
Para penerima anugerah menerima piala pusingan, plaf dan cek serta sijil fellow PADU yang berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam tiga kumpulan kursus utama iaitu, Perubatan, Surgeri, dan Perubatan Makmal. Menurut Ani Arope juga, syarikat Medtronik (USA) akan menderma melalui PADU, dua sistem peralatan pembedahan tulang untuk makmal Kelamhiran Klinikal, USM dan syarikat Zeiss akan menderma RM30,000 kepada fellowship PADU-Ziess.

Sehingga kini PADU telah berjaya menubuhkan Tabung Kebajikan dan Pendidikan PADU untuk menggalakkan badan-badan korporat menderma. Simpanan tabung ini akan digunakan untuk membantu pasakit-pesakit yang daif serta membantu dalam meningkatkan penyelidikan khususnya masyarakat di Pantai Timur.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan