DAP tetap teruskan kerjasama - Lim Kit Siang

KOTA BHARU, 5 Mac  - DAP tetap akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menegakkan lunas-lunas demokrasi di negara ini.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, pihaknya sedia untuk bekerjasama dalam usaha menengakkan keadilan mengikut lunas-lunas demokrasi.

"Kita mesti bekerjasama bagi mencapai matlamat tersebut," katanya pada majlis makan malam anjuran PAS Kota Bharu bagi membantu anggota parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuang di Dewan Perniagaan Cina di sini, malam tadi.

Menurutnya, hubungan antara parti-parti politik di negara ini tetap akan diteruskan.
Ditanyai pemberita selepas itu, beliau enggan mengulas lanjut dan mengulangi perkataan, kerjasama boleh diteruskan berasaskan keadilan dan demokrasi.

Beliau juga berkata, peristiwa yang berlaku di New York pada 11 September 2001 telah mengubah lanskap politik dunia termasuk Malaysia.

"Kita menjadi mangsa kepada segala tindakan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional termasuk menghalang ceramah terbuka diadakan.

"Sedangkan tidak ada dalam sejarah negara ceramah dianjurkan pembangkang boleh mencetuskan huru hara. Dan tidak pernah ada mana-mana parti yang mahu kepada suasana huru hara," katanya.

Menurut beliau juga, tidak ada juga dalam sejarah negara Komanwel ada anggota parlimennya yang digantung tanpa dibayar sebarang elaun.

Sedangkan kata beliau, penggantungan seseorang anggota parlimen terlebih dahulu perlu dirujuk ke jawatankuasa khas dan bukannya dilakukan dengan sokongan melalui undi.

Anggota parlimen Batu Gajah digantung tanpa dibayar sebarang elaun selama enam bulan bermula 11 Disember 2001.
Beliau digantung kerana enggan meminta maaf terhadap speaker berhubung kenyataan serta ulasannya di luar dewan berkenaan usulnya yang ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Zahir. Usul tersebut berkaitan dengan sijil amalan guaman yang dijadikan isu sehingga ada pihak mendesak kerajaan mengadakan semula peperiksaan tersebut.

Sementara itu, Fong berkata, pembaharuan perlu diadakan di parlimen negara ini bagi menegak keadilan.
Hadir sama pada progam berkenaan, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota Exco, Haji Anuar Tan Abdullah, Ustaz Hassan Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan pemimpin PAS Kota Bharu.