Bantu ahli parlimen Batu Gajah
BUKTI PAS TIDAK SISIH WANITA


KOTA BHARU, 5 Mac - Usaha PAS menganjurkan program makan malam bagi membantu anggota parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuang yang digantung oleh Parlimen tanpa gaji, membuktikan parti itu tidak pernah menyisihkan golongan wanita.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekiranya benar dakwaan sesetengah pihak, PAS mengenepikan wanita, sudah tentu program seumpama itu tidak akan diadakan. "Ini memandangkan anggota parlimen DAP dari Batu Gajah adalah wanita.

"Lagipun kalau hendak dikirakan PAS kini juga sudah tidak ada hubungan secara langsung dengan DAP.
"Namun saya tetap hadir di majlis ini bagi menggambarkan Islam menganjur umatnya supaya bersikap lemah lembut," katanya pada majlis makan malam bagi membantu anggota parlimen berkenaan di Dewan Perniagaan Cina di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Islam juga tidak pernah mengenepikan kaum wanita.
Oleh itu, katanya, sekiranya masih ada pihak yang mendakwa PAS mengenepikan wanita, ia adalah fitnah semata-mata.
Menurutnya juga, Islam mempamerkan sikap lemah lembut dan bertoleransi tinggi dengan kaum-kaum lain.

Majlis makan malam itu dianjurkan PAS Kota Bharu bagi membantu anggota parlimen Batu Gajah yang digantung dan elaunnya dipotong kerajaan Barisan Nasional (BN) selama enam bulan.

Pemotongan itu dilakukan melalui undi dua pertiga di kalangan wakil-wakil rakyat BN, selepas Fong enggan meminta maaf berhubung usul peperiksaan sijil amalan guaman.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mendokong perjuangan menegak keadilan di negara ini.

Pengerusi DAP, Lim Kiat Siang memberitahu, parti-parti pembangkang di negara ini perlu duduk bersama untuk berbincang bagi menghadapi suasana tidak menentu dalam negara selepas peristiwa 11 September 2001.

"Pemimpin parti pembangkang perlu mengambil perhatian supaya tidak menjadi mangsa kepada Barisan Nasional yang antidemokrasi," katanya.

Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Ustaz Mohamad Mustafa berkata, pembaharuan di parlimen hanya dapat dilakukan melalui gerakan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, sekiranya tidak berlaku lagi perubahan di peringkat parlimen pada pilihan raya depan, rakyat tidak mampu berbuat apa-apa terhadap sebarang tindakan yang dilakukan kerajaan BN.

Menurutnya, kerajaan BN sanggup melakukan apa sahaja bagi menakutkan rakyat dan menggambarkan kononnya parti itu sahaja yang mampu mentadbir negara.

"Oleh itu, kita perlu bersatu dalam perkara-perkara yang boleh disepakati dengan mengenepikan perbezaan pendapat dan pandangan.

"Kita perlu sepakat untuk menentang sebarang kezaliman dan perlanggaran hak asasi manusia," katanya.
Beliau berkata, kezaliman yang berlaku ke atas anggota parlimen Batu Gajah disebabkan BN sekarang masih lagi menguasai dua pertiga di parlimen.

Katanya, mereka menggunakan secara sewenang-wenang hak majoriti dua pertiga bagi menganiayai wakil rakyat daripada pembangkang.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, seorang anggota parlimen dihukum sebegitu rupa sehingga melanggari batasan kemanusiaan.

"Sedangkan setiap anggota parlimen mempunyai tanggungjawab besar bagi membela rakyat di kawasan yang diwakilinya," ujarnya.

Oleh itu, beliau menyarankan semua pihak bersatu bagi mewujudkan keadilan dalam negara.
Beliau berkata, biarpun terdapat beberapa perbezaan pendapat dan pandangan, namun adat dan etika perlu dijaga bersama.