Islam tidak terlaksana selagi Umno berkuasa

KOTA BHARU, 5 Apr - Undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini selagi Umno masih lagi diberi peluang untuk menjadi pemerintah.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno tidak mungkin mendaulatkan sepenuhnya tuntutan agama, memandangkan parti itu berasaskan sekular.

"Bila kerajaan sekular dan perlembagaan pun sekular, maka masa depan kita di akhirat kelak akan terletak atas diri masing-masing, tidak akan ada pembelaan daripada kerajaan, maka apa erti kita ada kerajaan.

"Sedangkan Umno mengisytihar Malaysia negara Islam, namun tidak ada perubahan... Ini Islam cara Umno dan bukan Islam cara Rasulullah saw.

"Dakwah apa dan Islam jenis apa? Kalau dah Islam lebih rendah daripada undang-undang dan peraturan ciptaan manusia, Islam jenis dia lah tu," katanya di sini.

Baru-baru ini, kerajaan Terengganu menangguh hasrat untuk membentang enakmen mengenai hudud pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 14 April ini bagi membincangkan terlebih dahulu drafnya dengan pelbagai pihak termasuk parti-parti kompenan Barisan Nasional (BN).

Ekoran itu, beberapa pemimpin Umno termasuk Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain menganggap langkah itu sebagai gimik politik dan janji-jani kosong PAS kepada rakyat.

Manakala Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berhujah, langkah kerajaan Terengganu mahu meminda perlembagaan negeri bagi menjadikan undang-undang syariah sebagai undang-undang mutlak sebagai bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, orang Islam jangan lemah semangat mengenai perkara itu kerana perlembagaan negara boleh dibaiki untuk membolehkan hudud dilaksanakan.

"Ia boleh dipinda kerana Islam yang syumul mesti menerima segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

"Mengikut undang-undang bermakna mengikut Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Persekutuan digubal dan dipertahankan Umno sebenarnya yang menghalang hudud daripada dilaksanakan," katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat, kenyataan Karpal disifatkan bukan melawan hudud. Sebaliknya tambah beliau, pemimpin DAP itu mengatakan perlembagaan sekular Malaysialah yang menghalang pelaksanaan hudud.

Dewan Undangan Negeri Kelantan juga meluluskan enakmen mengenai hudud yang dikenali Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada persidangannya November 1993.

Bagaimanapun enakmen tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, kerajaan Kelantan juga diberi amaran oleh Perdana Menteri melalui sepucuk surat kepada Menteri Besar, sebagai menghalang hudud dilaksanakan.