Penduduk bantah persembahan artis di Istana Negeri

KOTA BHARU, 5 Apr (Hrkh) - Pelbagai pihak di negeri ini membantah usaha-usaha pihak tertentu yang mahu menganjurkan persembahan hiburan membabitkan artis wanita di Istana Negeri, Kubang Kerian pada 12 April ini.

Mereka juga bimbang program itu dicemari unsur khurafat kerana perarakan burung Petalawati diadakan sebagai permulaan majlis berkenaan yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, mereka mahu kerajaan negeri bertindak tanpa mengenal bulu biarpun ada pihak cuba berselindung di sebalik nama istana.

Seorang penduduk, Ismail Abdullah, 46 berkata, pihak terbabit disifatkan sengaja mencabar peraturan negeri yang melarang keras program bercorak khurafat dan persembahan artis wanita. Katanya, tindakan tegas perlu diambil kepada pihak terbabit biarpun cuba berselindung di sebalik nama istana.

"Pihak penganjur mempunyai niat yang jelas bagi mempersendakan kerajaan negeri dengan menganjurkan suatu program yang jelas bercanggah dengan dasar negeri ini.
"Tindakan segelintir pihak itu diyakini tidak mendapat sokongan rakyat yang bersusah payah mendaulatkan Islam sejak 1990," katanya di sini.

Baru-baru ini, Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dilaporkan berkata, perarakan replika burung Petalawati dan persembahan artis termasuk Siti Nurhaliza dan Nora akan diadakan pada majlis Jamuan Rakyat sempena keputeraan Sultan Kelantan ke-52 di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Perarakan burung sepanjang 7.8 meter dan tinggi 3.6 meter akan dimulakan dari Tumpat dengan paluan alat muzik tradisional dijadikan acara pembuka Majlis Jamuan Rakyat. Perarakan tersebut dijangka bermula di Tumpat kira-kira jam 2 petang 12 April dan akan melalui beberapa tempat termasuk Kampung Jubakar, Simpang Empat dan akan berakhir di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Ismail berkata, perarakan burung Petalawati adalah jelas berunsur khurafat kerana ia seperti memuja patung menyerupai burung sebenar.

"Apa motif pihak penganjur mahu mengadakan perarakan burung tersebut sekiranya tidak ada unsur-unsur khurafat dalam program berkenaan.

"Kita bimbang burung Petalawati dijadikan seperti unsur pemujaan pihak terbabit seolah-olah ia mampu memberi kuasa untuk menguatkan pihak tertentu," katanya.

Seorang penduduk dari Pengkalan Chepa, Syed Rizal Tahir, 30 berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang mahu menganjurkan persembahan artis wanita kerana ia jelas bertentangan dengan dasar kerajaan di bawah ulama.

Menurut beliau, sepatutnya pihak terbabit lebih akur dengan peraturan tersebut dan bukannya mahu menyuburkan kegiatan maksiat dengan berselindung di sebalik nama istana.

"Kita percaya program yang dianjurkan itu akan menyemarakkan lagi kebencian rakyat terhadap Umno kerana pemimpin parti tersebut terbabit secara langsung dengan program berkenaan," tambahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, persembahan artis wanita diadakan di sebuah hotel di sini baru-baru ini yang dianjurkan Kelab Jaksa Pendamai (J.P) turut dihadiri Sultan dan Raja Perempuan Kelantan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Antara artis wanita yang dijemput khas mengadakan persembahan pada malam berkenaan termasuk Sharifah Aini.
Pada persembahan itu, seorang anggota kelab berkenaan naik ke pentas berduet dengan penyanyi terbabit.

Beberapa tahun lalu, penduduk berhimpunan secara aman di hadapan hotel yang sama sebagai membantah persembahan hiburan membabitkan artis wanita.

Program itu dianjurkan sebuah persatuan di kalangan pegawai sebagai meraikan ulangtahun persatuan mereka. Ekoran itu, beberapa pemuda ditahan pihak polis.