Make your own free website on Tripod.com

 

NEGARA ISLAM SEGERA

Segera bermakna dibuat dengan serta merta. Jika terlalu segera, mungkin ia turut melibatkan gopoh gapah dan tergesa-gesa. Begitulah nampaknya jenis Negara Islam Segera Malaysia. Buktinya cukup mudah. Rumah siap tetapi pahat tidak henti-henti dari berbunyi. Baru semalam akhbar memuatkan sanggahan Karpal Singh yang berbunyi:
"Malah dalam undang-undang, Malaysia adalah negara sekular."
(Lihat Utusan Malaysia Rabu 27 Mac 2002)

Nak dikatakan Nik Ab. Aziz keliru seperti yang dituduh oleh ZAM (Lihat Utusan Malaysia bertarikh 26 Mac 2002) , macam mana kalau UMNO yang sekular enggan menyentuhpun Perkara 4(1) dan Perkara 75 dari Perlembagaan Persekutuan dalam mengisytiharkan Malaysia Negara Islam. Tidak ada yang kelirunya bagi Nik Ab. Aziz yang telah menjadi Ahli Parlimen Malaysia sejak dari tahun 1967 lagi. Beliau faham sangat dengan maksud "tidak perlu disentuh Perlembagaan Malaysia", apa lagi untuk dipinda dalam mengisytiharkan Malaysia Negara Islam. Ertinya, kedua-dua perkara iaitu Perkara 4(1) dan Perkara 75 yang dimaksudkan dikekalkan. Itulah ertinya. Tidak perlu dibahas. Diisytihar dan diterima dengan segera.

Mari kita cuba fahami apa yang terkandung di dalam kedua-dua Perkara berkenaan. Di dalam Utusan Malaysia, Karpal Singh berkata:
"Artikal 4(1) menjadikan Perlembagaan itu sebagai undang-undang mutlak di negara ini dan mana-mana undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak konsisten, terbatal."

Perkara 75 pula menyebut:

"Bahawa jika mana-mana Undang-Undang Negeri tidak konsisten dengan Undang-Undang Persekutuan, Undang-Undang Persekutuan mengatasinya, dan Undang-Undang Negeri yang tidak konsisten, terbatal."

(Lihat Utusan Malaysia Rabu 27 Mac 2002)
Tidak mungkin keliru Menteri Besar Kelantan itu. Jika tidak sekular, apa lagi? Perihal segeranya pengisytiharan Negara Islam amat jelas kerana ia dilancarkan tanpa dibahas. Gopohnya pengisytiharan hingga tidak sempat, tidak perlu dipinda atau diubah apa-apa. Jika tidak diubah, jelaslah ia bukan Islam. Islam bagaimana jika Quran dan Hadith tetap dikira terbatal kerana ia "inconsistant" dengan Undang-Undang Persekutuan.

Inilah bentuk "karipap segera" yang Nik Ab. Aziz maksudkan itu. Inilah juga yang Encik Karpal Singh sahkan sebagai Malaysia yang sekular.

Jika diambil pandangan bekas Perdana Menteri, ulama', bekas Ketua Hakim Negara dan seorang ahli akademik yang disegani, penilaian mengenai status sebenar Negara Malaysia tetap sama. 

Malaysia adalah sebuah negara sekular. Ikuti pendapat-pendapat mereka seperti di bawah:

i) "Saya ingin menjelaskan bahawa negara ini bukanlah negara Islam sepertimana ianya difahami umum. Kita hanya memperuntukkan bahawa Islam hendaklah menjadi agama rasmi negara." - Tunku Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri Malaysia. (Sumber: Official Report of Legislative Council Debates, 1 May 1958).

ii) "Dengan mengetepikan kedudukan undang-undang Islam sebagai undang-undang negara, Perlembagaan negara kita sekarang telah merupakan suatu halangan besar ke arah cita-cita merealisasikan undang-undang Islam di negara kita ini. Adalah menjadi tanggungjawab semua mereka yang berkewajipan memperjuangkan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini untuk mencari jalan bagi mengatasi halangan politik dan Perlembagaan ini."
(Sumber: Prof. Dato' Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Ke arah Merealisaskan Undang-Undang Islam di Malaysia, Seminar Syari'ah, Akademi Islam Universiti Malaya, 1987.)

iii) "Parti Perikatan menghuraikan (kepada Raja-Raja Negeri Melayu) bahawa ... tujuan menjadikan Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan adalah terutamanya bagi maksud-maksud upacara, misalnya membaca doa mengikut cara Islam dalam majlis-majlis rasmi seperti pertabalan Yang di-Pertuan Agung, Hari Merdeka dan majlis-majlis yang serupa itu. (Huraian ini telah diterima oleh Raja-Raja dan dengan demikian Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengkanunkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan)"
(Sumber: Tun Mohd. Suffian Hashim, "The Relationship between Islam and the State in Malaya", Intisari, Jilid 1, No. 1.)

iv) "Undang-undang yang terpaksa kita ikuti di Malaysia, kecuali jika ada undang-undang bertulis yang lain, ialah undang-undang Inggeris, dan undang-undang Inggerislah yang menjadi undang-undang asas dan undang-undang negeri di Malaysia. Undang-undang Islam pada masa sekarang hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja dan dalam perkara-perkara yang terhad sahaja, iaitu perkara-perkara berhubung dengan keluarga dan agama Islam dengan pengertian yang sempit... Oleh sebab Islam menjadi agama rasmi Persekutuan dan juga agama rasmi untuk beberapa buah negeri di Malaysia, undang-undang Islam harus dikembalikan kepada tempatnya yang asal sebagai menjadi undang-undang asas dan undang-undang negeri di Malaysia. Seksyen 3 dan 5 dalam Akta Undang-Undang Sivil hendaklah dimansuhkan. Dengan ini kita tidak akan merujuk kepada undang-undang Inggeris yang lapuk itu, tetapi bebas mencari undang-undang lain yang tidak bertentangan dengan undang-undang Islam. Suatu fasal hendaklah diadakan dalam Perlembagaan yang bertujuan bahawa jika terdapat mana-mana undang-undang di Malaysia yang bertentangan dengan undang-undang Islam, maka hendaklah undang-undang itu terbatal setakat mana ia bertentangan. Dengan dua cara ini bolehlah kita mengesahkan bahawa undang-undang di Malaysia sekurang-kurangnya tidak bertentangan dengan undang-undang Islam."
(Sumber: Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, Sekatan-Sekatan Dalam Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia, al-Ahkam Jilid 4, Islam Dalam Perlembagaan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994).

Perbahasan detail mengenai perkara ini boleh diikuti dalam buku Negara Islam - Nota-nota Penting Buat Dr. Mahathir oleh Anual Bakhri Haron dan Kamarul Zaman Hj. Yusoff.

Sementara jelasnya kedudukan negara ini yang serba sekular, Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Senator Brig. Jen. (B) Datuk Ab. Hamid bin Hj. Zainal Abidin menyifatkan Menteri Besar Kelantan sebagai sombong dan kelabu mata kerana masih tidak nampak bukti dan fakta yang kukuh. Tegas beliau bahawa apa lagi yang boleh diubah kerana ia memang begitu malah semua orang dapat menerimanya. (Lihat Berita Harian 27 Mac 2002).

Buat beliau, sukacita kita hanya kunci dengan 3 soalan:
i) Bukti kukuh yang Malaysia Negara Islam hanya boleh dicari dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan bersifat piagam dan "written declaration". Kita minta beliau buktikan. Atau, jika Ab. Hamid mahu bersifat akademik, kita mohon beliau tunjukkan buku sarjana atau Ketua Hakim mana yang berpendapat seperti yang didakwa oleh beliau?

ii) Bolehkah beliau tolong berikan tafsiran erti, konotasi dan aplikasi atau pemakaian Perkara 4(1) dan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan dalam konteks bolehnya Al-Quran dan Hadith mengatasi Perlembagaan yang sedia ada?

iii) Adakah dakwaan beliau yang berbunyi:
"Semua orang dapat menerimanya" adalah hasil sebuah survey yang sainstifik atau generalisasi beliau yang bersifat "saya fikir" atau "saya rasa"?

Jika didasarkan kepada empat petikan pendapat tokoh-tokoh yang kita telah ketengahkan, siapalah agaknya yang masih tidak nampak dan kelabu mata. Nik Ab. Aziz atau Ab. Hamid?

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan boleh bersetuju dengan pendirian Ketua Pengarah JAKIM dalam kenyataan beliau yang menentang kemunculan ulama' segera. Ulama' bukan boleh lahir dalam sekelip mata. Baru keluar Azhar atau setahun dua jadi ustaz, baik di Sekolah Agama, Pejabat Kadhi, atau Jabatan Agama Islam belum lagi melayakkan diri seseorang itu digelar ulama'. Ulama' mesti komited kepada perjuangan Islam, tidak tinggal Sembahyang jemaah, suka membaca Al-Quran, mementingkan ibadah-ibadah sunat dan membawa akhlak mulia berasaskan panduan hidup Rasulullah S.A.W.

Kembali kepada Negara Islam, perkara utama ialah deklarasi bertulis yang meletakkan Quran dan Hadith sebagai asas Perlembagaan Persekutuan. Ini wajib didahulukan. Perubahan ini atau pindaan ini amat penting dilakukan di Parlimen. Dengan demikian, sesiapa juga yang mempersoalkan Quran dan Hadith selepas ini adalah dikira menentang Perlembagaan. Mana-mana perkara bercanggah dengan al-Quran dan Hadith adalah terbatal dengan automatik setakat yang ianya bercanggah. Takut untuk pinda dan letakkan deklarasi bertulis. Kenapa?

Mengenai wanita, yang tidak diizinkan untuk menjadi calon pilihanraya, ini bukan perkara segera. Ini telah diluluskan oleh PAS sejak tahun 1950han dahulu lagi dimana dua calon muslimah PAS pernah dibenarkan bertanding iaitu Khadijah Sidek dan Salmah Sheikh Hussin. Ini kisah benar. Semaklah sejarah. Hentikan berbohong. Kalau dah hampir 50 tahun lalu dibenarkan, maka keputusan PAS mengizinkan wanita untuk bertanding sekarang bukan lagi 'segera' namanya tetapi perkara lama yang diulang. Ini kekeliruan Zainuddin Maidin; bukan kekeliruan Nik Ab. Aziz. Selaras dengan ini, ZAM yang sepatutnya membuat "homework" yang lebih sedikit bagi membetulkan fakta beliau. Seorang Setiausaha Parlimen Kementerian yang "menerangkan fakta" semestinya perlu bersifat memberi penjelasan dan bukan menghidangkan fakta yang kabur, basi lagi mengelirukan.

Amalan melantik senator-senator yang semuanya wanita sejak PAS menang di Kelantan ditahun 1990 hingga kini membuktikan lagi dasar pintu terbuka PAS kepada kaum wanita. Asalkan mereka berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat kepimpinan muslimah dan muallimah, itu sudah mencukupi untuk dipertimbangkan sebagai calon.

Kritik ZAM yang kononnya PAS menyekat wanita cantik dari bekerjapun juga adalah lemparan fitnah basi yang tidak berasas. Silalah ke Kelantan dan saksikan penyertaan aktif kaum wanita dalam pelbagai lapangan perniagaan di segenap ceruk bazar, pasar dan supermarket. Untuk lebih konkrit, ZAM dijemput secara peribadi menjenguk Kota Darulnaim atau Pejabat Menteri Besar di Kota Bharu, Kelantan. Jangan terkejut jika YB Senator Zainuddin bin Maidin kita ini disapa oleh wanita-wanita sopan, bertudung, berakhlak dan mungkin manis-manis... jemputlah bila-bila masa dari Hari Ahad hingga Khamis. Jumaat dan Sabtu kami bercuti. Sorry!

Pendek kata, tidak mungkin Nik Ab. Aziz keliru dalam pengalaman politik beliau yang sudah sedemikian panjang. Sebaliknya, apakah tidak mungkin kekeliruan boleh berlaku di kalangan seorang dua Senator yang kurang latihan dan dihadiahkan dengan "majlis angkat sumpah" untuk menjadi Menteri atau Setiausaha Parlimen secara segera dengan percuma. Bertanding pun tidak. Itupun baru dua tiga tahun sahaja tempoh lamanya. Alahai!

Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
Kota Bharu.

Bertarikh: 14 Muharam 1423/28 Mac 2002