Perarakan patung: MB terima memorandum bantahan

KOTA BHARU, 5 Apr - Menteri Besar menerima memorandum bantahan mengenai Majlis Jamuan Rakyat yang membabitkan persembahan artis wanita dan perarakan patung burung Petalawati di Istana Negeri pada 12 April ini.
Memorandum tersebut mewakili Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kelantan.

Ketua Dewan Pemuda, Haji Takiyuddin Hassan, Pemangku Ketua Dewan Muslimat, Senator Hajah Siti Zailah Mohd Yusof dan wakil Dewan Ulamak menyerah memorandum tersebut kepada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabatnya, Rabu lalu.

Memorandum itu dipetik menyebut, pihak Dewan-dewan memandang berat program tersebut yang disifatkan berunsur maksiat dengan berselindung di sebalik sambutan hari keputeraan sultan.

"Tindakan tersebut menimbulkan keaiban yang amat sangat dan menjatuhkan maruah serta martabat sultan sebagai ketua agama di negeri ini.

"Pertunjukan tersebut diadakan di bangunan milik kerajaan negeri iaitu Istana Negeri. Langkah ini jelas suatu tindakan mencabar secara berdepan kerajaan negeri yang dipimpin kepemimpinan ulama berteraskan Membangun Bersama Islam," isi kandung memorandum setebal lima muka surat itu dipetik.

Baru-baru ini, Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dilaporkan berkata, perarakan replika burung Petalawati serta persembahan artis termasuk Siti Nurhaliza dan Nora akan diadakan pada majlis Jamuan Rakyat sempena keputeraan Sultan Kelantan ke-52 di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Perarakan burung sepanjang 7.8 meter dan tinggi 3.6 meter akan dimulakan dari Tumpat dengan paluan alat muzik tradisional dijadikan acara pembuka Majlis Jamuan Rakyat. Perarakan tersebut dijangka bermula di Tumpat kira-kira jam 2 petang, 6 April dan akan melalui beberapa tempat termasuk Kampung Jubakar, Simpang Empat, Pasir Mas, Salor, Mulong, Pasir Hor dan berakhir di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Memorandum Dewan-dewan berkenaan menyebut perarakan burung Petalawati adalah suatu amalan khurafat dan syirik kerana ia adalah patung berhala yang diharamkan Islam. Oleh itu, Dewan-dewan mengharap Menteri Besar mempertimbangkan langkah sebagaimana berikut:

. Mengisytiharkan kerajaan negeri sama sekali tidak merestui dan mengizinkan program maksiat dan syirik kerana ia jelas bercanggah dengan dasar kerajaan negeri serta syarak.

. Mengumumkan kerajaan negeri tidak akan sama sekali mengizinkan mana-mana bangunan miliknya termasuk istana negeri dan juga mana-mana jentera kerajaan digunakan bagi melangsungkan program maksiat dan syirik.

. Menteri Besar perlu memanggil mufti supaya memberi fatwa berhubung perkara tersebut dan menasihatkan pihak berkenaan supaya membatalkan program berkenaan.

. Menteri Besar perlu memanggil semua tok guru dan alim ulama bagi mendapatkan pengesahan mereka mengenai perkara ini, kemudian mengisytiharkan hasil pertemuan tersebut.

. Pendaftar Pertubuhan perlu diminta untuk mengetahui status MTRK sebuah pertubuhan berdaftar atau sebaliknya.
. Sekiranya MTRK tidak berdaftar maka ia merupakan pertubuhan haram di sisi undang-undang. Oleh itu, Menteri Besar berhak meminta pihak berkuasa undang-undang supaya membatalkan program berkenaan.

. Menteri Besar perlu mengizinkan, turut serta dan mengarahkan semua pemimpin negeri dan rakyat mengadakan majlis Solat Hajat memohon kepada Allah agar program maksiat dan syirik tersebut terbatal atau dibatalkan demi mengelakkan berlaku bencana yang menimpa seluruh rakyat.


Memorandum tersebut juga menyebut, patung itu akan melalui beberapa Wat Siam, To'kong Cina dan Kuil Hindu, di mana sami-sami akan mengalungkan bunga pada patung tersebut.

Memorandum berkenaan ditandatangani Takiyuddin, Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Mohamed Daud dan Hajah Siti Zailah.
Program jamuan rakyat anjuran MTRK itu dijangka dihadiri Sultan, Raja Perempuan, Perdana Menteri, pembesar negara dan pemimpin Barisan Nasional