Make your own free website on Tripod.com

 

Thaksin janji perubahan di Selatan Thailand

NARATHIWAT, April - Mesyuarat bergerak kabinet Thailand yang berlangsung di Pusat Penyelidikan Pembangunan Diraja Pikonthong di sini, baru-baru ini membincangkan pembaharuan pertanian dan pentadbiran di wilayah-wilayah selatan.
Walaupun kabinet dibayangkan akan membuat keputusan-keputusan penting mengenai perkara tersebut, namun belum ada butiran terperinci yang diumumkan.

Jurucakap kabinet hanya mengulangi rancangan-rancangan kerajaan secara umum bagi membangunkan masyarakat yang diakui ketinggalan di wilayah selatan.

"Pihak kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula kewujudan Force 46 (Majlis Pemerintah Istimewa Wilayah Selatan yang mneggabungkan tentera, polis dan pasukan pentadbiran).

"Kabinet juga melantik Chavalit Yongchaiyudh mengetuai sebuah jawatankuasa mengenai hal tersebut," katanya.
Kabinet juga kata beliau prihatin terhadap rungutan masyarakat tempatan mengenai birokrasi.

Menurutnya, Perdana Menteri mahu satu perubahan dilakukan kepadan sistem pentadbiran supaya mereka menukar persepsi terhadap masyarakat setempat dengan mewujudkan sistem yang lebih mesra.

Mengenai pembangunan terutama di sektor pertanian beliau berkata, mesyuarat itu berjanji akan mengadakan langkah-langkah segera bagi mempastikan satu lonjakan kepada iklim ekonomi di selatan.
"Selain mengemaskini beberapa sektor termasuk kewangan.

"Kabinet juga bersetuju untuk merancang rangsangan besar-besaran kepada ekonomi kawasan ini termasuk menyuntik bantuan khas dari luar sekiranya bersesuaian," jelasnya.
----------------


Zainal Abidin Hussin

Penduduk desak kerajaan isytihar zon bebas maksiat

NARATHIWAT, April - Pemimpin-pemimpin masyarakat Islam di sini mendesak kerajaan Thailand mengisytiharkan lima wilayah majoriti penduduk muslim di selatan sebagai zon bebas maksiat.
Desakan itu terkandung dalam memorandum 10 perkara yang diserahkan kepada Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dalam satu pertemuan di Majlis Agama Islam, baru-baru ini.

"Kami mahu kerajaan serius dalam soal ini sesuai dengan budaya dan agama penduduk tempatan," kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Yala, Nik Mud Mat Kacil. Memorandum lima muka surat itu dibacakan di hadapan menteri kabinet Thailand yang berada di bandar tersebut kerana menghadiri mesyuarat kabinet bergerak. Kira-kira 300 pemimpin Islam dari wilayah-wilayah selatan Thailand turut hadir di majlis berkenaan.

Memorandum yang mewakili lima majlis agama wilayah terbabit juga menuntut kerajaan Thailand mengambil tindakan segera menghapuskan kegiatan kongsi gelap dan samseng yang beroperasi di kawasan sempadan.
"Kita mahu kerajaan bersungguh-sungguh membanteras semua kegiatan kongsi gelap dan samseng termasuk yang memakai uniform," kata Nik Mud.

Beliau juga turut menyatakan tuntutan rakyat supaya pihak kerajaan memberi perhatian kepada masalah pentadbiran di wilayah-wilayah selatan.

"Satu reformasi perlu dilakukan supaya kerajaan mempastikan pegawai-pegawai yang bertugas di kawasan berkenaan memahami agama dan budaya penduduk tempatan dan tidak bertindak berdasarkan kecenderungan kaum atau agama," kata beliau.

Pihak penduduk juga mahu pertikaian antara penduduk dan pentadbir diadili dengan pertimbangan yang wajar.
"Kami mahu keadilan ditegakkan tanpa mengira siapa yang melakukan kesalahan," tambahnya.
Memorandum itu juga menuntut supaya sistem mahkamah syariah dibenarkan beroperasi di wilayah-wilayah majoriti umat Islam.

Pihak kerajaan juga dituntut prihatin terhadap pembangunan di wilayah-wilayah selatan. Menyegerakan penubuhan universiti di kawasan tersebut dan menaikkan taraf lapangan terbang ke peringkat antara bangsa. Membenarkan majlis agama menubuhkan kolej khas untuk melatih imam, khatib dan bilal.

Pihak kerajaan diminta membantu organisasi-organisasi bukan kerajaan yang bergiat aktif dalam masyarakat Islam tempatan.
"Organisasi-organisasi yang mewakili masyarakat Islam perlu dibantu kerana pihak kerajaan harus mengambil peranan membantu rakyat di samping meningkatkan imej di peringkat antarabangsa," tambahnya