Make your own free website on Tripod.com


Bandar berkonsep Islam di Tunjung

KOTA BHARU,  -  Bandar baru kedua yang akan diwujudkan di Kampung Tunjung dekat sini akan menjadi pemangkin utama ke arah melahirkan Bandaraya Islam di Kelantan menjelang tahun 2005.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan berkata, cadangan melahirkan bandaraya berkonsep Islam tahun 2005 adalah selari dengan dasar kerajaan negeri 'Membangun Bersama Islam'.

"Usaha mewujudkan bandar berkenaan dikendalikan di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang dilantik agensi utama untuk membangunkannya.

"MPKB diberi kuasa autonomi di bawah akta Kerajaan Tempatan mengenai projek itu," katanya pada perhimpunan Itqan kakitangan MPKB di sini, di Dewan Bandaran baru-baru ini. Perhimpunan itu dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Takiyuddin berkata, cadangan mengenai pembinaan bandar baru itu sudah dibincangkan di peringkat kerajaan negeri termasuk mengenal pasti tapak tanah bagi pembinaan beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan.

"Memandangkan pembangunan di pusat bandar Kota Bharu begitu pesat sekarang, kerajaan negeri terpaksa mencari suatu tapak baru untuk dibangunkan bandar baru," ujarnya.
Sehubungan itu, bagi menjayakan hasrat tersebut, semua pihak terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan perlu memainkan peranan secara lebih berkesan sehingga projek berkenaan menjadi kenyataan.

Katanya, bagi memenuhi ciri-ciri Bandaraya Islam kakitangan MPKB perlu melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan