Pendekatan Islam Tangani masalah dadah

KOTA BHARU, 5 Julai - Usaha bersepadu menggunakan pendekatan Islam perlu digerakkan oleh semua pihak bagi membendung gejala negatif yang melanda masyarakat sekarang.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kaedah agama boleh digunakan secara berkesan memandangkan ia merangkumi aspek rohani dan jasmani.

"Bagaimanapun masalah ini tidak akan selesai sekiranya hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang dipertanggungjawab menyelesaikan masalah berkenaan termasuk dadah. "Kita tidak boleh hanya mengharapkan Pemadam dan Agensi Dadah Kebangsaan sahaja membendung gejala itu, sedangkan pada waktu yang sama, pihak lain pula memberi ruang kegiatan maksiat diadakan secara terbuka," katanya ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan Ke-26, yang diadakan di sini baru-baru ini.

Seramai 1,445 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak hadir pada program dua hari itu. Kehadiran begitu ramai peserta menyebabkan tempat berlangsung seminar dan mesyuarat penuh sesak dengan kehadiran pelbagai jenis kenderaan milik peserta. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Zainal Abidin Zin dan Pengerusi Penyelaras Pemadam Kelantan, Haji Takiyuddin Hassan.

Menteri Besar berkata, cara yang digunakan sekarang tidak mampu memberi kesan yang menyeluruh, memandangkan pada waktu yang sama ruang maksiat tidak disekat kerajaan.
"Selagi lubang-lubang kemaksiatan tidak diberi perhatian serius untuk dihapuskan, selagi itulah usaha untuk membasmi masalah dadah tidak akan berjaya," ujarnya.

Menurut beliau, setiap kaedah yang digunakan mesti berlandaskan agama seperti juga amalan dalam bidang pentadbiran negara, ekonomi, perundangan, pendidikan, budaya, sosial, hiburan dan kesenian.
Tambahnya, kesemuanya hendaklah dikembalikan kepada asas Islam supaya ia mendapat pertolongan dan keredhaan Allah.

"Yakin dan percayalah bukan manusia sebenarnya yang boleh menyelesaikan sesuatu masalah, tetapi Allah, Tuhan  yang mentadbir sekalian alam ini akan menyelesaikannya melalui usaha dan ikhtiar manusia yang memilih jalan taqwa," ujarnya.

Kata beliau, sudah tiba masanya masyarakat di negara ini memilih dan bergerak kepada sistem Islam bagi mengatasi segala masalah yang berlaku. Beliau berkata, masyarakat hendaklah menerima hakikat golongan muda di negara ini semakin ramai terjebak dengan najis dadah.

Tambahnya, gejala dadah dan sosial yang menimpa golongan muda sekarang kerana  sistem yang diamalkan bukannya menurut kaedah Islam. "Apa pun halnya, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang sama aktif baik di peringkat kerajaan dan badan bukan kerajaan.

"Oleh itu masyarakat hendaklah kembali kepada ajaran Islam serta mengamalkan kehidupan yang bersih menurut ajaran-Nya, sekiranya ingin selamat dunia dan akhirat," ujarnya.
Kumpulan Abdul Rahman Alabaladi dan persembahan dikir barat menghiburkan tetamu. Majlis makan malam itu dibiayai sepenuhnya kerajaan Kelantan.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan